Cools tak goyah sokongan puluhan ribu penyokong tuan rumah

Cools tak goyah sokongan puluhan ribu penyokong tuan rumah

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barisan pemain Harimau Malaya tidak akan gentar terhadap kebanjiran puluhan ribu penyokong tuan rumah pada perlawanan persahabatan menentang India di stadium Gachibowli, Hyderabad, India, esok.

Kapten skuad Harimau Malaya Dion Cools berkata, kebanjiran penyokong tuan rumah mungkin menjadi tonik tambahan kepada pemain untuk mempamerkan aksi cemerlang dalam usaha mencatat kemenangan bertemu India.

Beliau berkata, fokus barisan pemain Harimau Malaya tidak akan terganggu walaupun bakal dikelilingi ‘gegak gempita’ dan laungan daripada penyokong tuan rumah kelak.

“Saya lihat setiap pemain sudah pastinya mahu beraksi di depan puluhan ribu penyokong. Jika ada ramai penyokong mungkin tidak menjadi masalah buat barisan pemain.

“Apa yang penting adalah mengharapkan permainan yang baik dan bagus esok kerana kemenangan boleh memperbaiki ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa),” katanya, dalam sidang media pra perlawanan persahabatan India menentang Malaysia, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Harimau Malaya menepati ramalan apabila berjaya memastikan kemenangan 3-1 ke atas Laos pada di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lalu.

Perlawanan persahabatan ini cukup penting buat skuad Harimau Malaya dalam rangka persiapan menghadapi kejohanan Piala AFF 2024 selain akan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.

Sementara itu, pemain berusia 28 tahun itu turut menyimpan hasrat ingin menjaringkan gol pada pertemuan menentang pasukan di ranking ke 125 dunia itu.

“Sudah pastinya saya gembira jika dapat menjaringkan gol untuk pasukan. Namun, sebenarnya tidak kisah siapa pun menjaringkan gol kerana perkara penting adalah Malaysia meraih kemenangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top