Penilaian standard pelajar program DLP Sarawak mula tahun depan

Penilaian standard pelajar program DLP Sarawak mula tahun depan

mdroji@bh.com.my

Kuching: Sarawak akan melaksanakan penilaian standard bagi pelajar Program Dwi Bahasa (DLP) mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat negeri, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan program itu membabitkan murid tahun enam.

Katanya, kohort pertama DLP Sarawak yang dimulakan pada 2020 akan memasuki tahun enam pada tahun depan, sekali gus menjadi kumpulan pertama akan menjalani penilaian standard.

“Bagi pelajar tahun enam, penilaian untuk program DLP akan dimulakan tahun depan, manakala bagi pelajar tingkatan tiga bermula tahun 2028.

“Objektif utama penilaian itu adalah untuk mengenal pasti kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Menurut Sagah, kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana memberikan kelulusan untuk melaksanakan penilaian itu.

“Penilaian standard itu juga berfungsi sebagai persediaan awal bagi membantu pelajar membina kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi tahun enam, kementerian saya dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, institusi pengajian tinggi milik Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan sekolah swasta di Sarawak, kini sedang membangunkan instrumen penilaian tersebut,” katanya.

Menurutnya, Cambridge University Press and Assessment menyediakan kepakaran untuk memastikan standard yang ditetapkan setaraf dengan penanda aras antarabangsa.

“Justeru, saya menyeru semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, dan komuniti untuk menyokong inisiatif ini bagi memastikan kejayaannya dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, seramai 6,545 guru DLP dari tahun satu hingga lima dilatih setakat ini, manakala guru DLP tahun enam dan tingkatan satu akan dilatih pada tahun hadapan.

“Selain itu, kementerian saya sentiasa bekerjasama dengan JPNS untuk merangka program intervensi DLP yang disesuaikan serta menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran tambahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan DLP Sarawak,” katanya.

Sagah berkata, DLP Sarawak berbeza dengan Program DLP Kebangsaan kerana menggunakan pendekatan 100 peratus medium bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top