Kane mahu terus bantu England

Kane mahu terus bantu England

London: Kapten England Harry Kane berkata, prestasinya masih pada tahap terbaik dan menafikan spekulasi bahawa Piala Dunia 2026 adalah penampilan terakhirnya bersama Three Lions.

Thomas Tuchel akan mengambil alih tugas sebagai pengurus England pada Januari bagi menggantikan pengendali sementara Lee Carsley yang membantu Three Lions mara ke divisyen pertama Liga Negara-Negara Uefa hasil lima kemenangan daripada enam perlawanan.

Ia termasuk kemenangan 3-0 ke atas Greece di tempat lawan minggu lalu yang menyaksikan Kane hanya memanaskan bangku simpanan.

Penyerang berusia 31 tahun itu mengakui dia terkejut dengan situasi itu tetapi menjaringkan gol ketika membelasah Republik Ireland 5-0 selepas kembali ke barisan kesebelasan.

Pada Euro 2024, Kane kurang menyerlah dan digantikan dalam semua empat aksi kalah mati sebelum England mara ke final. Tetapi penyerang Bayern Munich itu kini meledak 20 gol untuk kelab dan negaranya dalam 21 penampilan musim ini.

“Saya fikir terdapat persepsi apabila anda berusia 30-an, prestasi makin merosot tetapi bagi saya, masih lagi beraksi pada tahap terbaik dan berasa bagus seperti sebelum ini,” kata Kane.

“Saya tak suka memandang terlalu jauh ke hadapan tetapi Piala Dunia pastinya menggembirakan. Di Amerika Syarikat, ia pasti menarik dan sudah tentu berusaha memenanginya.”

Dia yang kini penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk England dengan 69 gol dalam 102 perlawanan, dijangka mampu mengatasi rekod Peter Shilton yang memiliki 125 kap.

Namun, dia percaya perlu membantu menamatkan penantian negaranya yang memburu kejuaraan utama sejak 1966 bagi mengikuti jejak kapten yang menjuarai Piala Dunia Bobby Moore.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top