kamarulzaidi@nstp.com.my
Rio De Janeiro: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengkritik struktur Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dianggapnya tidak adil dan inklusif.
Berucap pada sesi kedua intervensi bertajuk Reformasi Institusi Tadbir Urus Global pada Sidang Kemuncak G20 di sini, Anwar menggesa agar kuasa veto yang dimiliki oleh lima negara anggota tetap UNSC(P5) dikaji semula.
Beliau menegaskan perlunya perwakilan dari benua Afrika dan Amerika Latin dalam UNSC bagi mencerminkan suara dan kepentingan negara di kedua-dua benua itu.
“Ketetapan semasa adalah sangat tidak adil. Sepatutnya perlu ada wakil dari Amerika Latin dan Afrika (dalam UNSC),” katanya.
Beliau berkata, reformasi PBB sudah dibincangkan selama lima dekad, namun masih tiada perubahan yang signifikan.
“Kita bercakap mengenai reformasi institusi PBB. Kita bercakap tentang ideal, kemanusiaan, nilai kemanusiaan, namun tiada perwakilan dari Afrika, tiada perwakilan untuk Amerika Latin (dalam UNSC), siapa yang peduli? katanya.
Anwar menyeru agar perwakilan demokratik yang mencukupi dari wilayah Amerika Latin dan Afrika dipertimbangkan dalam UNSC.
“Amat tidak adil untuk meneruskan ketetapan semasa berhubung UNSC dengan mengecualikan perwakilan dari wilayah ini,” tegasnya.
Anggota tetap UNSC yang terdiri daripada negara China, Perancis, Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat juga dikenali sebagai Permanent Five, Big Five, atau P5.
Selain menyuarakan pandangannya mengenai reformasi UNSC, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia di luar Sidang Kemuncak G20.
Antaranya ialah Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer; dan Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính.
Perbincangan dengan Ramaphosa tertumpu pada usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang diplomasi, pendidikan, perdagangan, dan pelaburan.
Sementara, perbincangan dengan Starmer berkisar kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Anwar turut menerima jemputan untuk melawat United Kingdom daripada Starmer.
Perbualan dengan Perdana Menteri Vietnam pula menyentuh mengenai ASEAN, terutamanya Grid Tenaga Asean dari Vietnam, melalui Semenanjung ke Singapura.
“Vietnam menyokong inisiatif ini,” kata Anwar.
Pendiriannya tegas, Anwar mengenai perlunya reformasi UNSC ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan di peringkat global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




