Pemuzik jalanan tidak mengaku bersalah ajar ajaran salah

Pemuzik jalanan tidak mengaku bersalah ajar ajaran salah

am@hmetro.com.my

Seremban: Pemuzik jalanan yang juga pengikut ajaran Millah Abraham berdepan satu lagi dakwaan di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengajar ajaran salah, tahun lalu.

Tertuduh, Norasid Md Said, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada ahli keluarganya yang juga wanita berusia 42 tahun.

Tertuduh menyatakan ‘solat ini tidak ada syariat dalam al-Quran. Solat ini hanyalah agenda konspirasi bangsa Arab’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 24 April 2023 di sebuah rumah di Taman PGBF Harmoni, Gemas, Tampin.

Norasid didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dan sebutan kes termasuk tiga pertuduhan sebelum ini masing-masing pada 21 Januari dan 17 Februari depan.

Prosiding hari ini sepatutnya diteruskan dengan perbicaraan selepas tertuduh dituduh pada 6 Ogos lalu, bagaimanapun Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan Raja Mazelan Raja Deraman menyatakan saksi belum bersedia memberikan sebarang keterangan.

Raja Mazelan berkata, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak didapati menghubungi dan menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada saksi yang juga ahli keluarganya.

Mahkamah kemudiannya memberikan amaran kepada tertuduh supaya tidak mengganggu saksi kerana ia salah satu syarat yang terkandung dalam jaminan bagi pertuduhan kes sebelum ini.

Zulfikri turut memaklumkan kemungkinan jaminan ke atas tertuduh akan ditarik dan ditempatkan di penjara sekiranya dia mengulangi perbuatan mengganggu saksi pendakwaan.

Norasid pada 6 Ogos lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan dengan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada seorang ahli keluarga wanita berusia 42 tahun, April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengajar ajaran salah kepada wanita berkenaan berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 5 petang, 24 April 2023 di sebuah rumah di Taman PGBF Harmoni, Gemas.

Pada 11 Julai lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan sama dengan menyatakan kepada seorang wanita berusia 51 tahun iaitu isterinya ‘solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek’ dan berkaitan lafaz syahadah yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ‘aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan tuan semesta alam dan rasul Mesiah adalah pesuruh tuan sekalian alam’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Felda Palong 3, Gemas pada Jun dan Ogos 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top