Polis nasihati orang awam berhenti guna 'laluan tikus' lintas landasan kereta api

Polis nasihati orang awam berhenti guna 'laluan tikus' lintas landasan kereta api

am@hmetro.com.my

Putatan: Polis menasihati orang awam supaya berhenti untuk menggunakan sebarang ‘laluan tikus’ melintasi landasan kereta api bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ini susulan kejadian seorang wanita maut manakala anak lelakinya parah dirempuh kereta api di Kilometer 10 landasan kereta api, dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, kes disiasat mengikut laporan mati mengejut dan pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video di tempat kejadian di mana-mana platform media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Mengenai kejadian itu, Sammy berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa warga tempatan bersama anak lelakinya dilanggar kereta api yang menuju ke arah stesen kereta api Tanjung Aru.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diseret sejauh 50 meter.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat, anak lelaki mangsa yang parah turut dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam insiden kira-kira 1 tengah hari itu, mangsa Lena Gabin, 41, disahkan maut, manakala anak lelakinya berusia 11 tahun parah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top