“Kenapa Perlu Pelik Bila Wanita Tak Bertudung Solat?” – Diana Danielle Mohon Netizen Tak Kaitkan Kesempurnaan Dengan Amalan… Mahu Berubah Jadi Lebih Baik

“Kenapa Perlu Pelik Bila Wanita Tak Bertudung Solat?” – Diana Danielle Mohon Netizen Tak Kaitkan Kesempurnaan Dengan Amalan… Mahu Berubah Jadi Lebih Baik

Pelakon jelita, Diana Danielle tampil berkongsi pandangannya mengenai persepsi masyarakat terhadap golongan individu yang masih belum menutup aurat dengan sempurna namun menunaikan dan menjaga solat lima waktu.

Katanya, sejak dia berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatannya, ramai dalam kalangan netizen yang memberikan reaksi memintanya untuk menutup aurat terlebih dahulu.

Justeru, pelakon filem Imaginur ini berpendapat, individu di luar sana tidak layak untuk melabel atau merendahkan sesiapa yang sedang berusaha untuk menjadi lebih baik.

“Sejak saya berkongsi bahawa solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama “Tutup aurat dulu”. Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat?

“Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri dan berjuang melawan nafsu masing-masing.

“Yang penting semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak rendahkan sesiapa yang sedang cuba berusaha,” katanya.

Perkara itu dikongsi Diana menerusi hantran di laman Threads miliknya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, ibu anak dua ini juga turut mempersolakan kenapa ada individu yang berasa pelik jika orang yang masih belum menutup aurat atau mengenakan hijab mendirikan solat memandangkan solat adalah tanda kesedaran seseorang untuk berubah menjadi lebib baik.

“Kenapa perlu pelik bila ada orang tak bertudung bagitahu mereka solat? Kan setiap orang ada ujian berbeza.

“Solat tanda kesedaran untuk berubah menjadi lebib baik. Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,” ulasnya.

Sebelum ini, Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, pernah memaklumkan bahawa dia kini lebih tenang melalui proses perceraian bersama aktor, Farid Kamil.

Ini kerana, dia meletakkan harapan dan berserah segalanya kepada Allah dengan mendirikan solat sekaligus mengaku mahu berubah dan memperbaiki diri menjadi wanita muslimah.

Terdahulu, Diana dan Farid pernah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Ogos 2023.

Tidak lama kemudian, kedua-duanya kembali rujuk selepas sebulan bercerai.

Pasangan ini berkahwin pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Scroll to Top