Membina generasi menjunjung tinggi sifat insani

Membina generasi  menjunjung tinggi sifat insani

 

Laporan berkenaan gejala buli sentiasa mewarnai dada akhbar tanah air. Sekejap timbul, pada waktu yang lain isu itu kembali tenang. Tatkala berlaku sesuatu kes buli, maka akan riuh seluruh pelosok negara kita sehingga semua pihak mahu memperkatakannya. Maka terbitlah pelbagai macam cadangan dalam mengatur semula akhlak anak muda supaya dapat hidup dalam kerangka dasar akhlak mulia seperti yang digariskan agama dan menurut kaca mata adat. Tidak kurang juga yang melaungkan di pelbagai media, berkaitan teori yang menganalisis punca dan sebab timbulnya gejala keji itu. Demikianlah keadaannya saban kali tercetus sahaja isu kes buli, perkara sama yang diulangtayangkan.

Sesungguhnya, Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lebih awal dalam memperkatakan isu ini, malah menunjukkan cara didikan paling sempurna supaya sebarang unsur tidak baik dalam pergaulan harian seperti mempersenda, menghina, memperolok-olokkan orang lain dapat dibendung. Baginda SAW sendiri telahpun menunjuk ajar kepada umatnya bagaimana menempuh kehidupan bersosial dalam situasi yang jauh lebih harmoni dan mensejahterakan. Misalnya, hadis tertera di atas jelas membuktikan bagaimana Islam memberikan perhatian berat terhadap cara berhubung sesama insan dalam kondisi yang aman, harmoni dan tenteram. Pesanan Baginda dalam hadis itu jelas menggambarkan bahawa cara terbaik dalam membina suatu landskap sosial yang murni tidak lain adalah dengan melalui kehidupan yang berpaksikan kepada saling hormat- menghormati.

Mari kita baca dan renungkan bersama satu kisah yang berlaku dalam kalangan sahabat Nabi SAW dahulu. Ia mungkin ada kaitan dengan isu buli juga. Dikatakan sebahagian sahabat Rasulullah SAW mentertawakan Abdullah bin Mas’ud. Kisah penuhnya diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang katanya, pada suatu hari Rasulullah SAW meminta Abdullah bin Mas’ud untuk memanjat pohon untuk mengambil sesuatu daripadanya. Sahabat yang berada di bawah pohon itu melihat betis Ibnu Mas’ud begitu kecil. Lalu mereka mentertawakannya. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah SAW bertanya kepada sahabatnya: “Kenapa kamu semua tertawa? Ketahuilah oleh kamu, di negeri akhirat kelak, timbangan kaki Abdullah bin Mass’ud adalah lebih berat daripada Gunung Uhud.” (Hadis ini riwayat Imam Ahmad-hadis sahih)

Lihatlah sikap mempersendakan sambil mentertawakan kekurangan yang ada pada diri orang lain pun Rasulullah SAW menegahnya. Apatah lagi jika perbuatan itu sampai ke tahap menganiaya dan mencederakan orang lain. Lagilah murkanya Nabi SAW. Demikian juga dengan satu lagi kisah yang kali ini melibatkan Bilal bin Rabah dan kisah ini direkodkan oleh Imam Bukhari. Dilaporkan seorang sahabat pernah mencerca Bilal bin Rabah dengan menyebutnya kulit Bilal yang hitam gelap. Tindakan sahabat berkenaan telah ditegur oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: “Sesungguhya engkau memiliki sifat jahiliah (kerana mengejek sahabatmu).”

Kemungkinan sesuatu kemungkaran atau kejadian buli atau apa sahaja yang berunsur salah laku jenayah sosial, sewajarnya ditegah. Tidak dapat menegah dengan tangan (kuasa), maka tegurlah dan cegahlah dengan lidah. Andai itu pun tidak berkemampuan juga, maka hendaknya kita tidak bersekongkol dengan kejadian keji yang dimurkai Nabi itu. Biar hati kita benci dengan apa yang Nabi SAW benci. Biar hati kita suka dengan apa yang Nabi SAW sukai. Ingat baik-baik pesanan Nabi SAW ini yang terdapat dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang mencatatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menyaksika saudara Muslimnya dihina dan dia tidak membantunya, sedangkan dia mampu, Allah akan menghinanya di hadapan sekalian makhluk pada hari akhirat.” Juga pesanan ini yang menyebut: “Tidaklah seorang lelaki yang membiarkan saudara Muslimnya di suatu tempat yang kehormatannya dirampas dan harga dirinya dihina, melainkan Allah akan membiarkannya pada suatu tempat yang dia sangat mengharapkan pertolongan-Nya.”

Kehidupan di sekolah ataupun di kampus institut pengajian tinggi (IPT) apatah lagi tinggal dalam suasana asrama sangat memerlukan kepada gaya hidup berteraskan saling menghormati, sentiasa bertoleransi dan erat berhubung antara satu sama lain. 

Cuba renungkan firman Allah ini yang terakam dalam Surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud: “Dan tiap-tiap yang menyakiti orang Mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan serta dosa yang nyata.” Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Dan Allah tidak menyukai orang zalim.” (maksud ayat 140 Surah ali Imran.) Ini membuktikan bahawa apa pun jua bentuk perilaku yang menghala kepada perbuatan zalim terhadap insan lain semestinya dihindari kerana ia perbuatan yang dimurkai Allah. Apakah anak-anak sanggup hidup di atas muka bumi milik Allah ini dengan gaya hidup berlaku zalim, sedangkan segala nikmat-Nya dikecapi? Tentu tidak, kan!

Ingatlah akan amaran Allah sebagaimana terakam dalam Surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: “Pada hari itu Kami tutup mulut mereka, kedua-dua tangan mereka memberitahu Kami dan kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka sudah usahakan.”

Usahlah pula disebabkan perkara kecil diperbesarkan sehingga menjadi isu besar sampai ke tahap mahu bergaduh dan terjadinya gejala membuli. Cubalah berfikir panjang kerana manusia yang berfikir pasti mampu mengawal suasana dan tidak terikut-ikut dengan kehendak hawa nafsu yang sentiasa mahu mengajak diri ke lembah tercela.

Sesungguhnya, alam persekolahan mahupun di persekitaran menara gading tempat untuk belajar menjadi warganegara yang beradab tinggi dan berakhlak terpuji. Sekolah mahupun IPT bukanlah ‘sarkas’ yang mengumpul manusia ‘ganas’ sebaliknya untuk membentuk jati diri insan yang menjunjung tinggi akal budi, mengelek seteguhnya adab peribadi. Sekolah dan IPT bukanlah wadah pendidikan tanpa roh kerana ilmu setinggi mana sekalipun andainya ciri-ciri karamah insaniah gagal dizahirkan dalam perwatakan, maka akan tempanglah kemenjadian insan yang diimpikan negara dan ummah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top