najiy.jefri@hmetro.com.my
Dalam dunia hiburan tanah air, majlis penganugerahan seperti Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bukan sekadar acara gilang-gemilang yang mempamerkan bintang bersinar di pentas berprestij.
Ia adalah detik istimewa yang menyanjung bakat dan dedikasi mereka yang mengharumkan nama industri seni tanah air.
Kehadiran selebriti di majlis ini seharusnya dilihat sebagai manifestasi komitmen mereka terhadap seni, memperkukuh hubungan sesama penggiat kreatif dan memberi inspirasi kepada generasi muda yang memandang tinggi kepada mereka.
Namun, pengalaman penulis menghadiri ASA2024 dan ABPBH tahun ini memperlihatkan bagaimana segelintir selebriti gagal menunjukkan teladan yang baik. Masakan tidak, ada selebriti yang sekadar hadir untuk ‘tunjuk muka’ dan tidak menunjukkan komitmen untuk menyokong majlis hingga tamat.
Tindakan segelintir selebriti yang segera meninggalkan majlis sebaik saja nama mereka tidak disebut sebagai pemenang menunjukkan mereka mungkin kurang memahami tujuan acara ini diadakan.
Sebagai tokoh masyarakat, selebriti sepatutnya memainkan peranan penting dengan menunjukkan rasa hormat, bukan saja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada industri seni tanah air. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai sikap tidak profesional dan ketidakpekaan terhadap usaha gigih penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berprestij ini.
Sikap selebriti ini menimbulkan tanda tanya mengenai sejauh mana komitmen mereka terhadap industri seni. Di satu pihak, mereka melaungkan pentingnya penghargaan daripada masyarakat dan penggiat kreatif, namun di pihak lain, mereka menunjukkan sikap acuh tak acuh dalam menghargai usaha rakan-rakan mereka dalam majlis seperti ini.
Penghormatan kepada anugerah seperti ASA2024 dan ABPBH adalah satu bentuk penghargaan kepada hasil seni dan setiap selebriti seharusnya menghargai peluang untuk bersama-sama meraikan pencapaian sesama insan seni.
Kehadiran mereka yang bersikap tidak profesional ini seolah-olah menidakkan usaha penganjur yang sudah merancang dan berusaha untuk menganjurkan majlis ini sebagai tanda penghormatan kepada hasil karya dan bakat yang luar biasa.
Apatah lagi, acara seperti ASA2024 dan ABPBH memerlukan komitmen masa yang panjang, namun alasan ini tidak seharusnya dijadikan sebab untuk meninggalkan majlis dengan tidak menghormati, terutama jika mereka hadir dengan pakaian yang ditempah khas.
Lebih menyedihkan apabila ada selebriti yang berpura-pura ke tandas atau keluar untuk menghisap rokok ketika acara berlangsung, tetapi tidak kembali. Sikap seperti ini jelas menunjukkan tidak profesional mereka sebagai figura awam.
Mereka perlu sedar bahawa kehadiran mereka bukan sekadar menonjolkan diri, tetapi sebagai tanda sokongan kepada rakan artis dan penggiat seni yang bekerja keras untuk menghasilkan karya berkualiti.
Menghadiri acara tanpa ikhlas hanya mencerminkan sikap tidak menghormati nilai kesenian yang cuba dipupuk dalam majlis terbabit.
Peminat yang turut serta dalam majlis anugerah ini pasti kecewa apabila mendapati selebriti kesayangan mereka pulang lebih awal tanpa alasan yang munasabah. Sikap ini tidak lain hanya menimbulkan persepsi negatif bahawa artis mereka hanya mementingkan diri sendiri.
Di era media sosial ini, setiap perbuatan mereka pasti akan diperhatikan dan dibincangkan oleh peminat, yang akhirnya memberi kesan kepada reputasi mereka.
Ironinya, apabila industri seni kurang mendapat sokongan, selebriti ini yang kerap ‘memekak’ dan mengkritik peminat atau penggiat seni lain dengan menyalahkan mereka kerana tidak memberikan sokongan sewajarnya.
Mereka mengeluh bahawa industri seni tanah air kurang dihargai, namun hakikatnya, mereka sendiri yang gagal menunjukkan sikap hormat kepada industri dengan meninggalkan majlis yang diadakan khas untuk menghargai bakat seni.
Pengalaman menyaksikan tingkah laku sebegini di ASA2024 dan ABPBH memberi gambaran bahawa penghormatan kepada rakan seperjuangan bukan sesuatu yang dipandang serius oleh semua pihak.
Padahal, industri seni adalah ekosistem yang saling bergantung antara satu sama lain untuk terus maju. Dengan sikap saling menghormati, industri seni tanah air pasti akan berkembang lebih baik.
Sebagai selebriti, mereka perlu menyedari bahawa pengaruh mereka besar. Setiap tindakan dan keputusan bukan sahaja memberi kesan kepada diri mereka, tetapi juga mempengaruhi peminat dan masyarakat secara umum. Oleh itu, setiap selebriti perlu memikul tanggungjawab penuh terhadap etika dan komitmen dalam menghadiri acara yang mereka hadiri.
Penganjur sudah berusaha keras memastikan majlis berjalan lancar dan ini perlu dihargai. Sikap menghormati majlis dan memberi penghargaan kepada semua yang terbabit adalah tanda kematangan dalam bidang hiburan.
Bukan sekadar soal menang atau kalah, tetapi majlis anugerah seharusnya dihadiri dengan ikhlas untuk memberikan sokongan penuh. Sokongan ini diperlukan bukan sahaja untuk individu, tetapi juga untuk perkembangan dan pengukuhan industri hiburan tanah air.
Seandainya tiada lagi sokongan terhadap majlis anugerah, industri seni tanah air pasti merosot dari segi prestij dan sokongan masyarakat. Selebriti perlu menghargai setiap majlis sebagai satu peluang untuk memupuk persahabatan, semangat persaingan sihat dan kecintaan terhadap seni.
Penulis wartawan hiburan Harian Metros
© New Straits Times Press (M) Bhd




