Guardiola terus bimbing Man City sehingga 2026

Guardiola terus bimbing Man City sehingga 2026

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola sudah menandatangani kontrak baharu untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga 2026, menurut laporan media Britain.

Kontrak semasa Guardiola, yang ditandatangani pada 2022, dijadualkan tamat pada penghujung musim ini.

Kontrak baharu itu dilaporkan termasuk pilihan lanjutan selama setahun lagi, menurut The Athletic.

Jurulatih berusia 53 tahun itu, yang menyertai kelab berkenaan pada 2016, sudah membawa City merangkul enam gelaran liga, dua Piala FA, serta kejayaan juara Liga Juara-Juara Eropah yang juga sebahagian daripada kemenangan treble mereka pada 2023.

Selain itu, beliau turut membantu City memenangi Piala Dunia Kelab Fifa dan empat Piala Liga.

Sebelum menyertai City, Guardiola pernah menguruskan kelab kampung halamannya, Barcelona dari 2008-2012, serta gergasi Jerman, Bayern Munich, selama tiga tahun.

Beliau memenangi tiga gelaran liga bersama setiap kelab itu.

Manchester City kini berada di kedudukan kedua dalam carta EPL, lima mata di belakang Liverpool selepas 11 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top