zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah takzir yang akan dibuat di khalayak ramai di Terengganu bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lokasi pelaksanaan hukuman sebat itu juga akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syariah.
“Hari ini, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan satu hukuman ke atas tertuduh iaitu Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku salah kerana kesalahan berkhalwat berulang.
“Hukuman ini (dijatuhkan) kerana lelaki terbabit mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
“Hukuman ini adalah hukuman sebat namun yang agak luar biasa kali ini sebagaimana yang diputuskan oleh pihak hakim ia akan dijatuhkan hukuman di khalayak ramai.
“Ini satu perkembangan baharu kita di negeri Terengganu (kerana) sebelum daripada ini hukuman ini (sebatan) dilaksanakan di tempat yang tertutup (tetapi) kali ini kita putuskan untuk dilaksanakan di khalayak ramai kerana ia adalah bidang kuasa negeri di bawah Hakim Mahkamah Syariah,” katanya.
Muhammad Khalil berkata demikian ketika mengulas mengenai hukuman yang dibuat Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini terhadap seorang tukang rumah yang menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang.
Untuk rekod, Mohd Affendi juga menjadi pesalah khalwat pertama yang dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, dia pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Muhammad Khalil berkata, pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka itu memerlukan kerjasama agensi yang berkaitan sekiranya dilakukan di khalayak ramai.
“Bila nak buat di khalayak ramai ini sama ada di kawasan yang terbuka seperti pasar atau taman awam, maka ini perlu kepada kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Jika dilaksanakan di pekarangan masjid, maka perlu kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
“Jadi kita tunggulah mengikut keputusan hakim (ia) akan dilaksanakan pada 6 Disember depan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, selepas solat Jumaat.
“Sekiranya tidak ada rayuan, maka ia akan dilaksanakan dan kita akan lihatlah apa yang seterusnya, insya-Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




