Ditemukan lemas, hajat Chik jamu keluarga hasil pukat tidak kesampaian

Ditemukan lemas, hajat Chik jamu keluarga hasil pukat tidak kesampaian

am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Setiap kali musim tengkujuh, Chik Mamat, 76, akan memasang pukat bagi menangkap ikan dan hasil yang diperoleh akan dijadikan hidangan seisi keluarga.

Namun hajat Chik untuk mengangkat dan melihat hasil pukat yang dipasang kelmarin tidak kesampaian apabila dia ditemukan meninggal dunia berdekatan kilang sawit di Jerangau Barat, Ajil di sini, pagi tadi.

Anak mangsa, Zamani Chik, 55 berkata, arwah bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 7 pagi menuju ke kawasan anak sungai untuk memeriksa pukat yang dipasang pada malam Selasa.

Katanya, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ditemukan meninggal dunia pagi tadi oleh orang awam.

“Ayah memang minat menangkap ikan dan setiap kali tiba musim tengkujuh dia akan memasang pukat dan keesokan harinya akan kembali ke lokasi itu untuk memeriksa hasil yang diperoleh.

“Penduduk kampung memaklumkan kejadian yang menimpa ayah kepada saya kerana kebetulan ketika itu ada penduduk yang ke lokasi sama untuk memasang pukat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk kampung menemui jasad ayah di lokasi kejadian yang terletak lima kilometer (km) dari rumah di Felda Jerangau Barat, dekat sini.

Zamani berkata, mungkin pada waktu memeriksa pukat, ayahnya mengalami kekejangan kaki atau tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Zakhiri Yusof, 40, berkata, dia antara individu terawal menarik mayat mangsa sebaik dijumpai terapung di sungai berkenaan.

“Waktu sampai di kawasan itu kira-kira jam 8.45 pagi seorang rakan memberitahu terlihat seperti mayat terapung kira-kira 50 meter dari kawasan daratan.

“Saya kemudian menghubungi seorang lagi rakan dan baru saya tahu bapa kepada penduduk Felda Jerangau Barat, yang pergi memukat di anak sungai itu pagi tadi.

“Saya serta beberapa penduduk kampung lain mengambil masa kira-kira 30 minit untuk bawa naik mayat mangsa ke darat,” katanya.

Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang lelaki pada jam 9.40 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top