Las Vegas: Max Verstappen akan menjadi hanya lelaki keenam dalam sejarah Formula Satu (F1) menjuarai empat gelaran dunia jika dapat mengatasi cabaran pencabar terdekat yang juga rakan sepasukan Lando Norris di Grand Prix (GP) Las Vegas, hujung minggu ini.
Juara tiga kali Red Bull yang menamatkan kemarau 10 kemenangan selepas bermula di kedudukan ke-17 di Brazil tiga minggu lalu hanya perlu di depan Norris atau memastikan pemandu McLaren terkeluar daripada lapan penamat teratas untuk mengekalkan kejuaraan.
Pelumba Belanda itu yang memungut 393 mata kini 62 mata di depan Norris yang mengumpul 331 mata dengan 60 mata lagi untuk diraih selepas perlumbaan di Vegas.
Dia tahu tak perlu terburu-buru untuk menyertai barisan legenda F1 Juan Manuel Fangio (lima gelaran), Alain Prost (empat), Michael Schumacher (tujuh), Sebastian Vettel (empat) danLewis Hamilton (tujuh).
Selepas bermula cemerlang musim ini yang menyaksikan Verstappan memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan pertama, prestasi Verstappen merosot sehingga mencetuskan tanda tanya.
Namun kemenangan di Brazil dan rekod cemerlang di Sin City tahun lalu menjadikan Verstappen pilihan utama untuk merangkul gelaran dunia keempat dalam kariernya.
“Brazil sangat mengagumkan buat saya,” kata Verstappen. “Ia benar-benar detik istimewa untuk saya dan pasukan. Gembira dapat melihat kami kembali ke prestasi seperti sebelum ini.
“Pasukan melakukan tugas dengan sangat bagus dan kami berharap dapat meneruskannya pada perlumbaan seterusnya. Ia usaha terakhir untuk semua orang.
“Kami berlumba dengan bagus di sini tahun lalu. Ia litar yang laju dan lurus serta banyak peluang untuk memintas.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




