aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia kini boleh menarik nafas lega apabila mengesahkan tempat ke Jelajah Dunia Akhir BWF (Persekutuan Badminton Dunia) di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember depan.
Biarpun tewas di pusingan pertama Masters China, semalam, ia tidak mengancam kedudukan ranking Zii Jia di tempat ketujuh ekoran dua pencabar terdekatnya Koki Watanabe dari Jepun dan pemain China, Li Shi Feng turut mengalami nasib sama, tewas di pusingan pertama, semalam.
Watanabe tewas di tangan Viktor Axelsen manakala Shi Feng tunduk di tangan pemain Taiwan, Lin Chun Yi.
Keputusan itu menyaksikan kedudukan Zii Jia dalam ranking Jelajah Dunia sudah terjamin dan akan beraksi di kejohanan berkenaan buat kali ketiga selepas 2020 dan 2021.
Kejohanan akhir musim itu menawarkan hadiah lumayan dengan wang tunai keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.17 juta) dengan pencapaian terbaik pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu adalah mara ke separuh akhir edisi 2021 di Bali, Indonesia.
BWF turut mengesahkan kedudukan Zii Jia dengan memuat naik poster di akaun X badan induk itu, bersama pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang turut layak ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou.
“Tahniah kepada Kunlavut Vitidsarn dan Lee Zii Jia,” tulis BWF. Hanya tujuh pemain teratas menerusi ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou dengan Axelsen mendapat slot automatik selaku juara Olimpik Paris 2024.
Setakat ini, Malaysia akan mempunyai lima wakil di Jelajah Dunia Akhir iaitu Zii Jia; beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
Manakala beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang ketika ini menghuni ranking kesembilan Jelajah Dunia masih berpeluang layak tetapi perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir Masters China untuk menembusi kelompok lapan terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




