nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Satu mekanisme tertentu perlu diputuskan bagi menyelesaikan masalah hampir 500 pelajar dari Thailand yang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, berkata Kelantan menyambut baik apa sahaja keputusan yang diputuskan Kerajaan Pusat berhubung isu keselamatan sempadan termasuk arahan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember ini.
“Kita mohon kementerian berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengatasi isu pelajar di sempadan.
“Kita akan cuba bincang dan lihat dahulu. Sekiranya apa yang kita lakukan itu menjadi beban, mungkin ada cara lain untuk diselesaikan.
“Ini kerana kita tidak mahu menganiayai pelajar, namun pada masa sama soal keselamatan sempadan juga perlu diberi perhatian.
“Mungkin sebelum ini kita tidak mengenakan tindakan tegas sehingga kawasan sempadan bebas keluar masuk. Jadi bila arahan tegas dikeluarkan, mungkin ada pihak yang terkesan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati, seawal jam 6.30 pagi mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah.
Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
Mengulas lanjut, beliau turut memuji tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mahu membuka pintu masuk lebih awal iaitu jam 6 pagi, berbanding kini jam 7 pagi.
“Apabila kita mahu melakukan sesuatu yang baru, semua agensi termasuk kerajaan negeri perlu bersedia. Sebagai contoh kita tidak mahu berlaku kesesakan apabila pelajar menggunakan ICQS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




