am@hmetro.com.my
“FIKIR balik niat untuk masuk industri seni sebab apa? Jumpa orang dan ‘circle’ (ruang lingkup) yang betul serta jadilah seperti resmi padi, ‘semakin tunduk semakin berisi’ (merendah diri),” kata pelakon Adam Lee, 30, ketika diminta mengulas isu buli di lokasi penggambaran membabitkan pelakon baru yang diperkatakan.
Adam yang sudah berlakon sejak berusia 18 tahun berkata, dia menceburi bidang seni dari era surat khabar hinggalah ke media sosial sekarang.
“Ketika saya mula berlakon dulu, saya sudah merasai segalanya seperti kena marah, kena maki dengan jurukamera dan sebagainya. Ia perkara biasa di lokasi penggambaran.
“Saya juga sudah diajar untuk masuk dalam industri seni kita kena ‘keras’ (kuat) tapi saya tak anggap pelakon baru sekarang manja atau lembik sebab mungkin mereka tak merasai apa yang saya lalui dulu.
“Pelakon senior pada zaman itu juga pergi ke lokasi penggambaran untuk bekerja dan belajar ilmu lakonan di set. Kita sebagai pelakon juga kena sentiasa peka dengan apa yang berlaku di lokasi,” katanya.
Mengenai isu buli lagi, Adam berkata, dia juga menasihatkan pelakon baru supaya pandang kiri dan kanan kerana perjalanan mereka masih jauh lagi.
“Saya tengok ramai juga pelakon yang bersuara mengenai isu buli ini dan ia terpulanglah pada mereka.
“Saya juga ada baca kenyataan daripada pelakon, Nabila Huda dan Nadhir Nasar yang bersuara mengenai isu buli ini. Bagi saya komen Nadhir itu matang,” katanya.
Terdahulu, timbul isu buli di set penggambaran membabitkan artis baharu dan artis lama serta kru penggambaran di set seperti mana yang disuarakan pelakon, Alif Muhaimin baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




