Penyampai radio popular, DJ Lin terharu dengan sokongan tak berbelah bahagi yang diberikan oleh peminatnya.
DJ Lin atau nama sebenarnya, Roslinda Abdul Majid mahu terus mengekalkan kerja keras bagi membalas segala jasa peminat.
“Saya terharu dengan sokongan peminat yang selama ini tak lelah memberikan dorongan. Tanpa mereka, saya dan team Suria FM tidak sampai ke tahap ini. Kami akan terus mengekalkan kerja keras bagi menghargai mereka yang selama ini menyokong.
“Kami mencatat prestasi cemerlang apabila berjaya menarik lebih 3.3 juta pendengar seminggu berdasarkan keputusan terkini kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024. Angka ini menunjukkan peningkatan signifikan sebanyak 292,000 pendengar atau 10 peratus berbanding kajian sebelumnya,” katanya.
Selaku Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin turut mencatatkan kejayaan manis menerusi segmen Suria Cinta yang dikendalikan olehnya.
“Segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh saya setiap Ahad hingga Jumaat, bermula jam 8.00 malam hingga 1.00 pagi mencatatkan peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi di kalangan segmen utama lain iaitu sebanyak 341,000 pendengar (33 peratus), diikuti segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria kelolaan Cik Piah setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang sebanyak 303,000 pendengar (23 peratus).
“Manakala, segmen Morning Morning Suria kendalian Ajak, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi mencatatkan peningkatan sebanyak 170,000 pendengar (12 peratus) dan segmen Suria Petang yang dihoskan oleh Sharifah Shahirah, Chiwan dan Kai Hassan setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3.00 petang hingga 7.00 malam meningkat sebanyak 152,000 pendengar (9 peratus).
“Suria Cinta turut mencatatkan peningkatan pendengar eksklusif antara stesen radio berbahasa melayu yang ketara sebanyak 184,000 pendengar (32 peratus). Selain itu, Suria Cinta kekal uggul kerana turut meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) selama 3 jam 11 minit dalam kalangan segmen utama kami.
“Pencapaian ini adalah hasil komitmen padu dan kerja keras team Suria yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk para pendengar. Kami komited untuk terus memperkukuhkan jenama agar kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar di Malaysia sekaligus terus berusaha menghasilkan kandungan yang menarik dan dekat di hati pendengar,” katanya lagi.




