sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menolak kemungkinan skuad itu mampu mengejutkan Selangor FC apabila kedua-dua pasukan beraksi pada pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu ini, malam esok.
Legenda bola sepak Singapura itu berkata, tiada yang mustahil untuk menewaskan Red Giants biarpun lawannya itu dilihat memiliki kelebihan berbanding skuad Tok Gajah berdasarkan prestasi semasa.
“Saya percaya Sri Pahang ada peluang mengejutkan Selangor dan pada pertemuan dalam saingan Liga Super, kita mengikat lawan 1-1 dan peluang untuk menang tetap ada.
“Namun, jika mahukan kemenangan, pemain perlu mempamerkan persembahan terbaik dan tidak mempersia-siakan peluang.
“Pada masa sama, pemain di bahagian pertahanan juga perlu lebih cergas dan waspada dengan barisan penyerang Selangor. Apa yang penting kekalkan fokus dan disiplin sepanjang tempoh 90 minit perlawanan,” katanya.
Ditanya kekuatan utama Red Giants, Fandi berkata, lawannya itu memiliki barisan penyerang dan beberapa pemain matang yang perlu diawasi sebaiknya.
“Jika tersilap langkah, ia akan membahayakan pasukan dan Selangor akan mencatat kemenangan. Oleh itu semua pemain perlu peka dan memanfaatkan peluang yang ada untuk memastikan kemenangan dan sebagai bekalan pada perlawanan kedua nanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




