hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemuda MCA sedia memberi bantuan guaman kepada keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk, termasuk kejadian terbaru membabitkan suami isteri di Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu.
Ketua Penerangannya, Neow Choo Seong berkata, sebanyak sembilan kemalangan maut direkodkan akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol.
“Persepsi awam yang merasakan kerajaan tidak serius menangani isu membabitkan pemandu mabuk wajar ditangani sebaik mungkin.
“Pemuda MCA sedia menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada mana-mana mangsa atau keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Menurutnya, kerajaan juga dituntut untuk mengambil tindakan proaktif dan tegas supaya kejadian sama tidak berulang.
Katanya, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dipinda pada 2020 ketika bawah Menteri Pengangkutan ketika itu Datuk Seri Wee Ka Siong perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghukum pesalah.
“Sekiranya hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan masih tidak memberi kesan, Pemuda MCA mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya meningkatkan lagi hukuman penjara menerusi pindaan Akta 333.
“Mungkin hukuman penjara minimum 15 tahun dan maksimum 20 tahun dapat memberi kesedaran orang ramai,” katanya.
Dalam kejadian 4 pagi itu, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Honda Vario dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu suspek di Simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3, menjadi yatim piatu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




