Kerajaan tangguh bentang RUU Pekerja Gig

Kerajaan tangguh bentang RUU Pekerja Gig

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bagi membolehkan lebih banyak sesi libat urus dibuat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Saya sahkan ada dibincangkan perkara ini… memang Jemaah Menteri dimaklumkan Menteri Sumber Manusia berhasrat untuk menangguhkan dahulu (RUU berkenaan).

“Ia untuk memberi ruang dan peluang bagi lebih banyak proses libat urus dengan pelbagai pihak,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat, Disember ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilapor berkata, akta berkenaan sudah di peringkat draf akhir untuk pembentangan.

Bagaimanapun, semalam, platform ekonomi gig gesa kerajaan melaksanakan dialog kolaboratif sebelum penggubalan RUU Pekerja Gig dibuat.

Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove melalui satu kenyataan bersama menjelaskan sebagai pemegang taruh utama dalam ekonomi gig Malaysia, usaha kerajaan dalam mencadangkan RUU Pekerja Gig adalah sangat dihargai.

Bagaimanapun katanya, platform utama bimbang pemain industri mahupun pekerja gig tidak diberi ruang untuk perundingan yang mencukupi yang mana draf penuh cadangan pindaan tidak dikongsi dan proses maklum balas juga sangat terhad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top