SPRM masih teruskan siasatan, jejak kewangan aset Tun Daim

SPRM masih teruskan siasatan, jejak kewangan aset Tun Daim

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan dan jejak kewangan aset bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin masih diteruskan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers pada Februari 2023 dan ia membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan ketika Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Menurutnya, satu Notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dikeluarkan kepada Allahyarham pada 7 Jun 2023, dengan notis itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

“Allahyarham Tun Daim sudah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023, dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset terbabit.

“Pada 29 Januari lalu, Allahyarham Tun Daim sudah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

“Selepas Allahyarham Tun Daim meninggal dunia, pada 20 November lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” menurut kenyataan SPRM.

SPRM berkata, bagaimanapun siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes itu masih diteruskan.

“Siasatan ini turut membabitkan isteri Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir serta ahli-ahli keluarga beliau yang mana siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara.

“Penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa,” katanya.

SPRM menyeru masyarakat supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes berkenaan dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top