firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lambakan pemain kacukan yang akan dibawa bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya perlu ditapis sebaiknya dan jangan tangkap muat.
Perkara itu dinyatakan bekas pemain kebangsaan, Datuk M Karathu yang melihat usaha untuk membawa pulang 35 pemain kacukan di sekitar Eropah sesuatu yang positif.
“Saya anggap perancangan untuk bawa pemain kacukan dari Eropah langkah yang bagi mengukuhkan pasukan kebangsaan kita.
“Tetapi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kena memastikan kualiti pemain yang ingin diambil itu benar-benar terbaik.
“Jangan ambil pemain atas sebab dia hanya pemain berdarah kacukan semata-mata, tapi perlulah atas merit.
“Paling penting, pemain kacukan itu mesti lebih baik daripada pemain tempatan. Kalau pemain tempatan lebih baik daripada mereka, lebih lupakan saja,” katanya kepada Arena Metro.
Semalam, akhbar ini melaporkan sebuah laman pencari bakat, frfuturetalents berkongsi dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan senarai pemain kacukan yang boleh memperkuatkan skuad Harimau Malaya selepas ini.
Seramai 35 nama pemain dikongsikan dan perancangan ini pastinya bakal membawa impak baharu buat skuad bola sepak kebangsaan yang kini dalam proses penswastaan yang kemungkinan diterajui Tunku Ismail.
Malah, formula ini dilihat tepat selepas mengambil kira perubahan yang berlaku ke atas pasukan bola sepak Indonesia yang dibanjiri ramai pemain kacukan hingga membawa perubahan besar buat negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




