am@hmetro.com.my
Pasir Salak: Lelaki Orang Asli yang dilapor hilang selepas keluar memancing semalam, ditemukan lemas di Sungai Tumboh dekat Kampung Gajah, di sini, malam ini.
Mayat Iswandi Isa, 42, ditemukan anggota bomba pada 7.20 malam, kira-kira tiga kilometer (km) dari tempat dia dipercayai terjatuh.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, tiga bot melakukan pencarian di permukaan, dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan serta Pulau Pangkor.
Menurutnya, radius pencarian yang turut membabitkan BBP Kampung Gajah dan Seri Iskandar sejauh 5km menghala ke hilir sungai.
“Dalam perjalanan pulang ke pusat kawalan, mayat mangsa dijumpai oleh anggota pada jarak 3km dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Iswandi disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila gagal dihubungi dan pemeriksaan di lokasi hanya menemukan motosikal dan joran di kawasan kelapa sawit berdekatan Sungai Tumboh.
Keluarga mangsa membuat laporan polis selepas memaklumkan kali terakhir melihat mangsa pada 3 petang semalam.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan yang disertai 35 anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




