kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Industri nanas Malaysia terus mencatatkan kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa apabila syarikat tempatan, Ananas Premium berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai AS$1.5 juta (RM6.07 juta) di pameran antarabangsa Salon International de l’Alimentation (Sial-InterFood) Indonesia 2024.
MoU itu dimeterai bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia untuk pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, penyertaan di Sial-InterFood Indonesia 2024 bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia, tetapi turut memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepada pengunjung antarabangsa.
Katanya, kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan sebelumnya di Sial Perancis, sekali gus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia.
“Kejayaan ini membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan eksport produk berasaskan nanas.
“Ia juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini sejajar dengan slogan ‘Nanas Power! Sekali Tanam, 3 Kali Tuai’ yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian Malaysia.
Turut diperkenalkan pada sesi itu adalah jus nanas dan minuman bertenaga nanas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




