Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mendakwa bahawa tiga suku kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) mahu kelabnya diturunkan liga akibat tuduhan pelanggaran peraturan kewangan.
Namun, Guardiola menegaskan bahawa beliau akan terus bersama City, walaupun mereka diturunkan ke divisyen kelima bola sepak England.
Guardiola, yang memenangi enam kejuaraan EPL dalam tujuh tahun bersama City, baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun hingga 2027.
Buat masa ini, City sedang menghadapi perbicaraan berhubung 115 tuduhan pelanggaran kewangan yang difailkan oleh EPL.
Keputusan perbicaraan ini dijangka diumumkan sebelum akhir musim.
City menafikan semua tuduhan, tetapi jika didapati bersalah, kelab itu mungkin berdepan penalti mata yang besar atau hukuman lain.
Guardiola terus menyatakan sokongannya terhadap kelab, dengan berkata: “Saya lebih suka tidak berada dalam situasi ini, tetapi apabila ia berlaku, saya suka kerana saya percaya pada kelab dan orang-orang di dalamnya.
“Saya tidak boleh bercakap sekarang kerana kami sedang menunggu keputusan pada Februari atau Mac… Saya membaca sesuatu situasi ini, dan bagaimana kami perlu diturunkan segera. 75 peratus kelab mahu itu berlaku kerana saya tahu apa yang mereka lakukan di belakang tabir.”
Beliau juga menegaskan kesetiaannya, walaupun City berdepan kemungkinan diturunkan pangkat: “Saya pernah berkata sebelum ini, jika kami diturunkan, saya akan kekal di sini. Tahun depan, walau di mana pun kedudukan kami dalam liga, kami akan bangkit semula dan kembali ke EPL. Saya percaya pada kelab ini.”
Keputusan Guardiola untuk melanjutkan kontrak hadir ketika City melalui salah satu tempoh sukar di atas padang, termasuk beberapa kekalahan berturut-turut.
Namun, kesetiaan pengurus Sepanyol itu memberi harapan besar kepada penyokong City dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang, baik di dalam mahupun di luar padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




