'Kami bukan penghasut'

'Kami bukan penghasut'

nurul_husna@hmetro.com.my

LAZIMNYA orang hanya menyaksikan drama pergaduhan pasangan yang melalui fasa perpisahan memeritkan di Mahkamah Syariah.

Tanpa diketahui, kadang-kala tempias kemarahan itu turut dialami peguam yang mewakili anak guamnya.

Itu antara risiko yang perlu ditangani Peguam Syarie dari Firma Tetuan Iezwan Hazwani & Associates, Hazwani Zainal Akhyar yang sudah lebih lapan tahun mengendalikan kes di Mahkamah Syariah.

“Perceraian membabitkan pasangan tidak semestinya berakhir dengan baik, malah ada kes yang berlarutan terutama pasangan yang tidak mencapai kata sepakat dalam tuntutan masing-masing.

“Apatah lagi jika perceraian membabitkan individu yang panas baran dan mempunyai perasaan dendam terhadap pasangan sehingga menjadikan kawasan perkarangan mahkamah sebagai ‘gelanggang’ pergaduhan.

“Bukan hanya pasangan atau keluarga mentua diasak, kadang-kala rasa tidak puas hati pihak lawan (bekas suami) turut ‘dilampiaskan’ kepada peguam.

“Tanggapan mereka peguam syarie sebagai penghasut atau batu api yang menyebabkan isteri berani melawan dan menuntut hak mereka.

“Sedangkan tanggungjawab peguam syarie sudah semestinya kena menjaga kepentingan dan hak anak guamnya,” katanya.

Tambah Hazwani, beliau pernah menghadapi provokasi bekas suami salah seorang kliennya apabila bekas suami klien bertindak mengekori sehingga ke parkir kereta kerana tidak berpuas hati dengan tuntutan isteri.

Beliau turut diugut supaya tidak terus mewakili kliennya.

“Saya sendiri pernah alami insiden diasak bekas suami anak guam kerana tidak berpuas hati dengan tuntutan isteri.

“Mujurlah saya lebih pantas dan mengelak untuk bersemuka kerana tidak mahu ada konflik dengan kes sedang berjalan.

“Tidak hanya itu, saya juga kerap turun naik balai polis atas aduan sebagai penghasut kerana menyebabkan hubungan individu itu bersama anak guam saya (isteri) berakhir dengan perceraian.

“Ini contoh antara konflik dan cabaran jika bergelar peguam syarie terutamanya yang membabitkan kes perceraian,” katanya.

Kata wanita itu, hal itu seperti alah bisa, tegal biasa apabila berdepan lebih 30 kes setiap bulan.

“Bagi pengamal perundangan persendirian atau firma sendiri, kes yang kami tangani jauh lebih ‘ringan’ berbanding Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang menerima tidak kurang dari 50 kes setiap bulan.

“Saya masih boleh mengawal situasi dan tekanan membabitkan klien dengan baik. Cuma sesekali saya ambil kes probono sebagai sumbangan untuk membantu lebih ramai wanita mendapatkan hak mereka,” katanya.

Beliau yang aktif di aplikasi TikTok puanhazwanizainal, sering tampil berkongsi kes dan tip penting supaya boleh dijadikan rujukan kepada umum sebaik berdepan konflik yang serupa.

“Sebenarnya ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga tamat fasa itu, banyak fail kes tertunggak dan kemuncaknya pada 2021 kerana ‘back log’ kes dibuka ketika itu membabitkan kes perceraian sehinggalah tuntutan lepas cerai seperti hadanah, nafkah tertunggak dan banyak lagi.

“Cabaran lain apabila berlaku pertukaran hakim syarie yang boleh menyebabkan kes terpaksa ditangguhkan.

“Ini antara jangkaan setiap kes boleh tertangguh selain faktor anak guam dan bekas pasangan tidak mencapai kata putus bersama dalam kes itu,” katanya.

Menjengah peningkatan kes perceraian yang banyak berlaku kebelakangan ini, kata Hazwani, masalah itu sudah tidak mengenal usia.

“Jujur saya katakan semua peringkat umur melalui fasa perceraian, bagi pasangan muda, keputusan diambil dengan cepat dan terburu-buru buat keputusan selain lebih mudah berpisah tanpa persefahaman.

“Perceraian lewat usia pula, mereka baru tahu apa yang diinginkan selepas anak besar dan memiliki keluarga sendiri,” katanya.

Beliau turut berkongsi kes paling mencabar pernah dikendalikannya membabitkan kes harta sepencarian yang memakan masa hampir lapan tahun untuk diselesaikan. Tambahan pula, perlu berhadapan dengan pelbagai bantahan dari pihak lawan pada ketika itu.

“Memang masing-masing mempunyai hak untuk membuat bantahan. Ini bermain dengan teknikal dan taktikal peguam masing-masing.

“Apabila kes yang sama terlalu lama perbicaraannya boleh menjejaskan pelbagai aspek termasuklah fokus dan emosi peguam serta anak guam,” katanya.

Peguam syarie wanita itu turut memiliki lesen amalan di Perak, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang membolehkannya mewakili anak guam di keempat-empat negeri terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top