bhnews@bh.com.my
TAPAH: Kerajaan akan melancarkan aplikasi ‘Working For Workers’ (WFW) bagi bagi mengesan majikan yang culas membayar gaji khususnya pekerja warga asing termasuk pembayaran lewat dari tarikh yang sepatutnya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata aplikasi berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat dan sudah berada di fasa akhir menerusi penerapan konsep e-gaji (e-Wages) yang turut membabitkan usaha sama serta kawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Melaluinya, kita boleh terus dapat maklumat yang disalurkan pekerja syarikat yang berkenaan itu sendiri sebelum aduan dikemukakan oleh mereka seperti sekarang. Apabila majikan tidak bayar gaji atau bayar lewat lebih hari ketujuh setiap bulan, maka terus kita akan dapat maklumat.
“Menerusi e-Wages yang mana dengan maklumat awal mengenai kelewatan pembayaran gaji, kita tidak lagi perlu menunggu aduan pekerja sebaliknya bila kita tahu, kita akan ambil tindakan,” katanya pada Program Malaysia Prihatin peringkat parlimen Tapah, di Kompleks Sukan Tapah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kementeriannya berhubung dakwaan kononnya terdapat majikan melaporkan sendiri kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya membuat serbuan ke atas pekerja asing mereka bagi mengelakkan pembayaran gaji.
Perkara itu turut mendapat reaksi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam yang menegaskan siasatan terperinci akan dilakukan mengenainya susulan dakwaan sesetengah pihak mengenai kes serupa yang berlaku di tapak binaan kondominium di Setapak, Kuala Lumpur.
Saravanan berkata, setakat ini kementeriannya belum mengambil tindakan terhadap majikan terbabit memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Imigresen ketika ini.
“Memang sepatutnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) ada kuasa dan boleh bertindak terhadap majikan terbabit termasuk membeku mahupun membatalkan permit, namun sekarang kes itu diteruskan (diserah) kepada Imigresen yang berada di bawah bidang kuasa KDN.
“Saya sendiri kurang pasti bentuk tindakan yang diambil buat masa ini namun saya ingin nyatakan WFW ini adalah untuk semua sektor tanpa mengira latar kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




