Ancelotti nafi Mbappe hadapi masalah kesihatan mental

Ancelotti nafi Mbappe hadapi masalah kesihatan mental

Malaga: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata, adalah “tidak wajar” untuk membuat spekulasi mengenai kesihatan mental penyerang berstatus bintang kelab itu, Kylian Mbappe.

Mbappe hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya bersama Madrid disemua pertandingan dan kini terbabit dalam pertikaian pembayaran bernilai jutaan euro dengan bekas kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG).

Ancelotti ditanya pada sidang media sama ada penyerang itu bergelut dengan tekanan.

“Soalan yang menarik. Saya tidak merasakan dia mempunyai sebarang masalah kesihatan mental.

“Saya melihat dia gembira berada di sini. Jika dia ada masalah, dia tidak menunjukkannya, tetapi saya rasa membuat spekulasi seperti itu adalah sesuatu yang tidak wajar,” kata Ancelotti.

Penyerang itu tidak disenaraikan dalam skuad Perancis untuk perlawanan Liga Negara-Negara baru-baru ini buat kali kedua dalam tempoh dua bulan.

Mbappe juga dikaitkan dengan siasatan kes rogol di Sweden, yang sudah dinafikannya.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, tidak memilih pemain berusia 25 tahun itu untuk perlawanan menentang Israel dan Itali, dengan berkata: “Itu lebih baik untuk semua pihak.”

Ancelotti menyatakan keyakinannya bahawa Mbappe, yang menyertai Madrid musim panas lalu selepas tamat kontraknya dengan PSG, akan menemui semula sentuhan golnya hujung minggu ini dalam perlawanan menentang pasukan kerdil, Leganes.

“Semua pemain hebat melalui saat-saat sukar, tetapi dia bermotivasi serta gembira, dan itu sahaja yang saya perhatikan,” tambah Ancelotti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top