Banjir di Kelantan: 7 Keluarga terawal pindah PPS

Banjir di Kelantan: 7 Keluarga terawal pindah PPS

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: “Kami memilih untuk pindah sendiri pada malam tadi tanpa bantuan anggota keselamatan kerana kami sudah biasa dan yakin selamat,” kata Abdul Majid Ahmad, 58.

Abdul Majid adalah seorang ahli daripada tujuh keluarga di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh di sini, yang berpindah malam tadi ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kediaman mereka dinaiki air.

Katanya, dia bersama-sama yang lain memindahkan ahli keluarga menggunakan perahu untuk keluar ke jalan utama dan ada juga yang meredah banjir sejauh 300 meter.

“Tambahan pula, paras air masih selamat untuk kami redah dan Alhamdulillah, pagi ini semua 32 mangsa yang juga sanak-saudara saya sendiri sudah selamat berpindah.

“Kami tidak dapat keluar lebih awal kerana perlu memastikan kesemua barangan sudah siap disimpan di tempat selamat dan berpakat untuk keluar malam tadi secara beramai-ramai.

“Alhamdulillah, urusan berpindah berjalan lancar dengan menggunakan lampu suluh memandangkan keadaan sudah gelap. Tambahan pula, kami sudah tahu selok-belok jalan yang sesuai untuk keluar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bersiap sedia dari awal membantu mereka di penempatan itu, malah ketika berpindah pada malam tadi juga, ada pegawai yang sedia menunggu.

Sementara itu, Nor Azni Setapa, 49, berkata, dia bersyukur mereka sekeluarga selamat berada di PPS kerana sudah dua malam tidak dapat tidur lena memikirkan air yang sudah memenuhi kawasan perkarangan rumah.

“Macam biasa, kamilah yang menjadi ‘penghuni’ pertama PPS di sini, dan biasanya yang terakhir pulang memandangkan penempatan kami berada di kawasan rendah.

“Tetapi, gelombang pertama selalunya hanya banjir biasa yang tidak mengambil masa lama untuk surut, jadi kami berharap dapat segera pulang ke rumah kerana bimbang juga akan keselamatan harta benda,” katanya.

Terdahulu, beberapa kampung di kawasan penempatan rendah, di sini, mula dilanda banjir sejak malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top