Shima guna hasil 'live' TikTok untuk beli ikan, lampin pakai buang

Shima guna hasil 'live' TikTok untuk beli ikan, lampin pakai buang

fatin.farhana@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Shima, 55, mengakui aktif membuat siaran langsung di TikTok bagi menampung perbelanjaan harian.

Shima yang popular dengan lagu Teringin berterima kasih kepada pengikut yang sudi mendengar nyanyiannya di platform itu, malah, ada yang bermurah hati menghulurkan ganjaran.

“Saya cari rezeki di TikTok. Saya menyanyi secara ‘live’ malam-malam… Alhamdulillah, ada rezeki di platform itu. Adakalanya saya akui usaha ini membantu.

“Namun, sebagai penyanyi, kadang-kadang kita sihat dan ada kala kita sakit… Itu perkara biasa.

“Jadi, apabila sakit, tak dapat nak buat (siaran langsung TikTok). Apabila sihat, Alhamdulillah. saya boleh menyanyi,” katanya ditemui pada majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karwawan) di sebuah hotel di sini, petang semalam.

Shima berkata, pendapatannya bergantung kepada yang memberi sedekah.

“Secara jujurnya, saya buat ‘live’ macam kerja saya. Saya hiburkan orang, ada masanya saya buat setiap malam.

“Bukanlah kaya pun kerana saya hanya menyanyi dan tidak jual produk. Tetapi usaha ini membantu untuk beli ikan atau lampin pakai buang… Lepaslah,” katanya.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman seronok melihat ramai rakan seperjuangan turut aktif di TikTok.

“Ramai rakan artis buat ‘live’ di TikTok… Safura pun ada. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada platform buat kami,” katanya.

Shima mengakui sudah lama tidak mendapat undangan nyanyian, sebaliknya, hanya ‘ditaburi’ cakap-cakap kosong pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak pernah dapat tawaran. Ada yang telefon dan hantar mesej di TikTok dan WhatsApp, namun, sekadar cakap kosong. Mungkin orang itu hanya mahu berbual dengan sahaja… Itulah yang selalu saya dapat.

“Apabila orang buat begitu, memang saya tak suka. Jangan buat orang macam itu. Jangan beri orang harapan dengan cara begitu,” katanya yang menerima bantuan daripada Yayasan Pekema pada majlis itu.

Shima berkata, sumbangan yang diterima sedikit sebanyak membantu mengurangkan tanggungannya.

“Alhamdulillah diucapkan kepada Pekema dan Karyawan yang berkongsi rezeki dengan kami semua yang sakit dan tidak boleh bekerja.

“Saya ada penyakit paru-paru dan ‘slipped disc’. Sudah 10 tahun tak boleh buat kerja berat dan pundi kencing saya lemah.

“Saya sentiasa pakai ‘pampers’, itu semua perlukan duit. Jadi, syukur dapat sumbangan. Ini sangat membantu saya. Saya nampak sihat, tapi sebenarnya, sakit,” katanya.

Shima berkata, doktor melarangnya melakukan kerja berat.

“Saya berhenti berniaga sejak 2019 disebabkan masalah kesihatan. Doktor sarankan saya buat pembedahan, tetapi, saya tidak mahu,” katanya.

Pada 2018, Shima pernah membuka Warung Teringin menjual masakan nasi berlauk. Namun, perniagaan terpaksa ditutup setahun kemudian akibat ‘slipped disc’ yang dideritai sejak 2013 dan masalah pundi kencing.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top