Persaingan Famili Duo 4 menyaksikan pasangan sepupu, Tomok dan Sharul Kamal kembali meraih kemenangan pada minggu kelima selepas membawakan lagu Kelentang Kelentung nyanyian asal Hael Husaini dan Bolehlah Boleh nyanyian Mas Idayu berkonsepkan Bollywood.
Persembahan yang memukau dan penuh dengan kreativiti ini menjadikan Tomok & Sharul meraih markah tertinggi dengan jumlah kutipan sebanyak 72.54 peratus sekaligus menjadikan mereka sebagai juara keseluruhan pada minggu kelima dengan mencatat markah keseluruhan sebanyak 334.24.
Dalam pada itu, Tomok dan Sharul juga berjaya membawa pulang hadiah mingguan berjumlah RM10,000 selepas dipilih sebagai Duo Terbaik.

Manakala, ditempat kedua pula, Naqiu dan Joey berjaya meraih markah mingguan sebanyak 64.27 peratus mengetepikan peserta lain.
Tampil dengan persembahan berkonsepkan Ali Baba, Naqiu dan Joey juga antara peserta yang mendapat standing ovation dan markah ‘perfect 10’ dari juri apabila membawakan lagu ‘Ada Tak Ada’ dan Gaki Lubang Tutup Lubang bersama artis undangan mereka Salih Yaacob.

Berikut merupakan kedudukan dan markah penuh enam peserta Famili Duo 4 di minggu kelima:


Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).





Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus). Pemenang mingguan membawa pulang gelaran Duo Terbaik bersama wang tunai bernilai RM10,000.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.




