khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi mengakui pihaknya menghadapi cabaran untuk mengenalpasti individu yang menggunakan akaun palsu di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, disebabkan itu amat penting penyedia platform media sosial mengetatkan lagi garis panduan mereka apabila adanya pengguna yang mahu membuka akaun baharu seperti pemberian nombor telefon individu berkenaan.
“Kalau kita tak ada usaha sebegini, memang sangat sukar untuk kita mengenalpasti siapa di belakang akaun palsu.
“Selain daripada itu, di bawah pindaan (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) Akta 588, salah satu kuasa yang kami cadangkan adalah memperkenalkan satu sesi baharu untuk memperkukuhkan kuasa penguatkuasaan sedia ada,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai pemilik akaun palsu yang semakin berleluasa dan sukar dikesan sehingga ia tidak mampu dikawal.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, pindaan terhadap Akta 588 itu akan diperkukuhkan dengan mengkehendaki penyedia platform media sosial membekalkan data tertentu berdasarkan kepada siasatan kepada pihak berkuasa.
“Kita rasakan bahawa dengan seksyen itu jika diluluskan di Dewan Rakyat, polis berkuasa meminta data tertentu daripada platform media sosial mengenai pengguna akaun media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata, sejak 2022 sehingga 15 November 2024, sebanyak 21,156 kandungan palsu diturunkan oleh penyedia platform media sosial.
“Ia berdasarkan pertimbangan dan penilaian oleh penyedia platform itu sendiri mengikut standard komuniti yang ditetapkan.
“Bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 198 kes bagi elemen palsu disiasat dan daripada jumlah itu sebanyak lima kes didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Afnan Hamimi mengenai bila kerajaan mahu mengambil tindakan kepada pihak yang menyunting video temubual Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama CNN, Nie Ching sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mengenai tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang sunting video tersebut, saya rasa lebih sesuai dijawab oleh pihak PDRM,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan klip video yang tular di media sosial memaparkan wawancara Anwar bersama CNN seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, disunting pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran buruk kepada Perdana Menteri.
Fahmi berkata, klip video terbabit tidak menggambarkan keseluruhan wawancara berkenaan, sedangkan pendirian Malaysia kekal tidak mengiktiraf negara haram berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




