Polis kini sedang memburu suspek yang mencuri dua tayar belakang sebuah kereta Honda City di tempat letak kenderaan berbayar di Pulau Pangkor, Manjung.
Kejadian ini menjadi perhatian selepas video berkaitan insiden tersebut tular di media sosial. Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, kejadian berlaku ketika pemilik kereta berada di Pulau Pangkor.
Tayar kena curi sekali dengan rim di Pulau Pangkor
Memetik laporan Harian Metro, mangsa hanya menyedari tayar keretanya hilang setelah menerima panggilan telefon daripada rakannya pada jam 3 petang, 22 November 2024.

Kerugian dianggarkan bernilai RM2,000. Mangsa membuat laporan polis pada jam 7.30 malam hari kejadian. Berdasarkan siasatan awal, kereta tersebut telah ditinggalkan di parkir berbayar itu sejak 14 November lalu.
Pengadu meninggalkan keretanya di tempat letak kenderaan terbabit sejak 14 November lalu dan polis sedang giat mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Roswani Mohd Desa di talian 011-55042061 atau Bilik Gerakan IPD Manjung di 05-6886222. Hotline WhatsApp di 017-6828005 juga disediakan bagi memudahkan penyampaian maklumat.
Menerusi video yang dimuatnaik di TikTok, pengadu meluahkan rasa kecewa dengan aspek keselamatan di kawasan parkir berbayar itu. Katanya, dia telah membayar RM150 selama sebulan tetapi kereta tidak selamat.





