“Awak tak perlu pun bawa lagu sampai tiga lagu macam awak superstar sangat”.
Demikian respons penyanyi dangdut popular yang juga juri tetap pada program hiburan Famili Duo Musim 4 iaitu Mas Idayu mengenai persembahan nyanyian pasangan Didi Astillah dan Thamiera Chan pada konsert minggu kelima.
Kata Mas Idayu, nyanyian yang dibawakan pasangan duo itu telah ‘membunuh’ persembahan mereka apabila membawakan tiga buah lagu iaitu Bang Jono (Zaskia Gotik), Goyang Dumang (Cita Citata) dan Senggol-Senggolan (Mas Idayu).
“Mummy setiap minggu tahu Thamiera nervous tapi menunggu untuk dia menunjukkan peningkatan. Tapi penurunan dia pada minggu kelima ni teruk.
“Mummy tak tegur sangat persembahan dia malam ni sebab nyanyiannya, energy bagus.. muda lagi kan? Tapi kesalahan dia lakukan tu memang ketinggalan sangat. Thamiera lagi teruk dari Didi.
“Awak tak perlu pun bawa lagu sampai tiga lagu macam awak superstar sangat. Macam awak penyanyi dangdut profesional. Tomok pun nyanyi dua lagu je, itu pun lagu Mummy dia nyanyi penuh dan terkejut ya, sebab Tomok dengan Sharul tu lagi bagus dengan aura apa semua,” ulasnya.
Mas Idayu, 52, berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media program berkenaan yang berlangsung di Glenmarie, Shah Alam pada Ahad.

Mengaku sudah bersedia dengan kecaman yang bakal diterima, Mas Idayu mengaku teguran yang diberikan adalah tanda ambil berat dan sayang terhadap peserta untuk terus melakukan persembahan terbaik pada masa hadapan.
“Minggu ni pun sudah jadi minggu akhir sebelum next week minggu penyingkiran so mummy lagi panas. Mummy rasa kalau dia bawa satu lagu tapi dia feel, saya rasa itu lagi better.
“Mummy bila ada pertandingan sebegini, Mummy sudah bersedia dengan kecaman dan sebagainya. Mummy ni kalau sayang akan tunjuk cara lain. Mummy marah sebab ambil berat.
“Masa first konsert saya kesian dengan Thamiera tapi kalau dah sampai last tak ada peningkatan kena fikir macam mana nak menghibur. Saya sendiri pun takkan nyanyi lagu banyak macam ni. Dia akan membunuh persembahan dan lagu tu sendiri,” jelasnya.


Mengulas lanjut mengenai dakwaan kononnya ketiadaan pasangan duo tersebut ketika acara penutup program berkenaan disebabkan kritikan dan komen ‘kasar’ yang diberikan, pelantun lagu Selangit itu menjelaskan punca kenapa Didi Astillah dan Thamiera menerima respons sedemikian.
“Mummy pun tak tahu, ingatkan dengan teguran itu mental mereka kuat.
“Itulah masalahnya. Progam ini yang mereka masuk ini adalah program yang berlaku bukan dibelakang televisyen. Memang dalam televisyen dan dia menerima risiko tu untuk masuk dan memang ada mummy pun.
“Mummy sendiri tak expect nak marah apa semua malam ni, tak da nak fikir pun nak marah. tapi minggu depan nak terkeluar dah ke nak mummy tak ambil kisah dah.
“Persembahan didepan tv dia kena ambil risiko ni, kalau nak mummy tegur diam-diam, marilah dekat karaoke lah then mummy tegur diam-diam tak ada lah tegur depan-depan lagi. MAsa mummy marah mummy tak sedar.
“Memang kali ini mereka tersalah langkah, pilih terlalu banyak lagu untuk menunjukkan yang mereka profesional dalam irama dangdut.
“Susah kalau ambil hati pada teguran saya dalam rancangan macam ini,” ujarnya.

Terdahulu, selain Mas Idayu, Datuk Rosyam Nor juga menegur persembahan Didi Astillah dan Thamiera agar memberikan persembahan yang terbaik termasuklah melakukan homework memandangkan peserta lain memberikan persembahan sengit setiap minggu.
Famili Duo 4 dikemudikan oleh gandingan selebriti serba boleh iaitu Janna Nick dan Sharif Zero sebagai hos program manakala kerusi juri pula diduduki oleh figura hebat, Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.
Enam pasangan yang bersaing dalam Famili Duo 4 adalah Shiha Zikir & Ieda Zikir (adik-beradik), Zahid & Anne (adik-beradik), Ayie Elham Floor 88 & Salma Asis (sepupu), Tomok & Sharul Kamal (sepupu), Didi Astillah & Thamiera Chan (sepupu) dan Naqiu & Joey Daud (sepupu).
Mereka bersaing selama lapan minggu bagi merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000.
Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus). Pemenang mingguan membawa pulang gelaran Duo Terbaik bersama wang tunai bernilai RM10,000.
Jangan lupa saksikan Famili Duo 4 yang bersiaran selama lapan episod bermula 20 Oktober 2024, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan boleh distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.




