am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Pelanggan dan pemilik premis lelaki beragama Islam terutama yang mengendalikan kedai makan di Johor, diwajibkan untuk meninggalkan urusan perniagaan atau menutup sementara premis mereka ketika solat Jumaat berlangsung.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia bagi membolehkan mereka untuk menjalankan tanggungjawab menunaikan solat Jumaat di Masjid berdekatan.
“Mereka yang kena tinggalkan jual beli ini adalah orang lelaki, orang Islam, maka orang inilah jangan berniaga dan jangan berkerja (semasa solat Jumaat).
“Jadi peniaga Islam yang lain boleh berniaga tetapi yang lelaki kenapa pergi makan semasa solat Jumaat. Lelaki Islam kenapa berniaga semasa orang sembahyang Jumaat.
“Kita akan laksanakan penguatkuasaan bagi memastikan semua lelaki yang wajib solat Jumaat menunaikan kewajiban mereka,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, pekerja beragama Islam yang berdepan isu diskriminasi untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat bermula 1 Januari tahun depan diminta membuat aduan berhubung perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor.
Katanya, majikan yang ingkar dengan tidak memberi waktu rehat mencukupi pada setiap Jumaat, boleh dikenakan tindakan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Januari ini.
Jabatan Mufti Johor keluarkan garis panduan pelaksanaan solat jumaat di sekolah
Waktu rehat sektor swasta pada Jumaat di Johor ditetapkan 2 jam
© New Straits Times Press (M) Bhd




