am@hmetro.com.my
Setiu: Nur Azwa Shamimi Kamarudin yang parah dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dan kakaknya, semalam masih belum dimaklumkan mengenai pemergian insan kesayangannya itu.
Nur Azwa Shamimi, 21, ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Menurut abangnya, Ahmad Kamarul Syafieq, 28, dia dan dua lagi adik-beradiknya membuat keputusan untuk merahsiakan terlebih dahulu berita kematian ibu, Maimunah Mat Isa, 54; bapa, Kamarudin Ibrahim, 55, serta kakak, Nur Ardiena, 30, daripada pengetahuan Nur Azwa Shamimi.
“Saya dan adik-beradik tidak mahu memberi tekanan kepadanya dan tunggu keadaannya stabil dan pulih terlebih dahulu sebelum memberitahu berita kehilangan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Kamarul Syafieq yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, adik bongsunya itu juga masih belum sedarkan diri selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan di kepala, malam tadi.
“Kami sepakat ingin memberi fokus kepada perkembangan kesihatan adik supaya dia kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek di sini, Nur Azwa Shamimi satu-satunya mangsa terselamat selepas Perodua Axia dinaiki bersama ibu bapa dan kakaknya kemalangan dengan pacuan empat roda pada 4.50 pagi.
Jenazah tiga beranak berkenaan selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




