Peluang Aaron-Wooi Yik analisis kelemahan

Peluang Aaron-Wooi Yik analisis kelemahan

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kejayaan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF dekat Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember depan, akan memberi manfaat kepada gandingan negara itu untuk mengharungi musim baharu 2025.

Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, Aaron-Wooi Yik akan memperoleh perlawanan

kompetitif di Hangzhou, sekali gus membolehkan mereka menganalisis segala kelemahan sebelum mengharungi musim baharu.

“Bagi saya, Aaron-Wooi Yik kena fokus setiap perkara (kelemahan) dengan sangat terperinci. Ia sesuatu amat baik mereka dapat beraksi (di dalam kejohanan) kerana dari situ, mereka boleh perbaiki segala yang diperincikan itu.

“Sebagai pemain, mereka tidak boleh asyik berharap kepada sesi latihan sahaja kerana tak nampak di mana tahap sebenar mereka,” katanya.

Bin Shen memuji semangat Aaron-Wooi Yik yang berusaha keras di saat akhir untuk cuba layak ke kejohanan berprestij itu meskipun pada awalnya dilihat agak sukar.

“Ia sesuatu yang positif kerana mereka akhirnya layak ke Jelajah Dunia Akhir. Di sana, mereka akan bertemu lawan-lawan hebat, jadi bagi saya amat bagus,” katanya.

Aaron-Wooi Yik layak beraksi di kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM11.15 juta) itu selepas pencabar terdekat mereka dalam usaha meraih tiket ke Hangzhou, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi kandas di suku akhir Masters China, minggu lalu.

Untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir, Hoki-Kobayashi tiada pilihan lain selain perlu muncul juara Masters China.

Hanya tujuh pasangan terbaik ranking Jelajah Dunia layak ke Hangzhou termasuk gandingan Taiwan, Wang Chi Lin-Lee Yang yang mendapat slot automatik selaku juara Olimpik Paris 2024.

Aaron-Wooi Yik layak selepas menduduki kelompok tujuh terbaik ranking Jelajah Dunia, sekali gus menyertai satu lagi beregu profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menduduki ranking keempat Jelajah Dunia.

Ia bakal menjadi penampilan kelima Aaron-Wooi Yik di Jelajah Dunia Akhir selepas edisi 2019, 2020, 2022 dan 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top