saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Peminat sukan badminton negara yang ingin menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia boleh mula membeli tiket bermula esok.
Kejohanan pembuka tirai siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu akan berlangsung dari 7 hingga 12 Januari tahun depan di Axiata Arena.
Barisan pemain terbaik dunia, termasuk bintang badminton Malaysia, akan tampil beraksi untuk merebut kejuaraan dalam kejohanan berstatus Super 1000 yang pertama musim depan.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan berkata, tiket akan mula dijual secara dalam talian di http://t2u.asia/e/39413 bermula jam 9.00 pagi esok.
“Harga tiket kekal sama seperti edisi tahun lalu. Ada tambahan kategori tiket baharu, Platinum B, diperkenalkan untuk memberikan lebih banyak pilihan tempat duduk kepada peminat.
“Mereka yang ingin menyaksikan keseluruhan kejohanan boleh membeli tiket bermusim dengan harga bermula antara RM282 sehingga RM2,000 bergantung kepada kategori,” kata kenyataan itu.
Dijangka mendapat sambutan yang hangat, peminat disaran mendapatkan tiket bagi kejohanan itu lebih awal untuk mengelak berdepan kekecewaan, terutamanya dengan adanya promosi pembelian awal yang berlangsung sehingga 23 Disember.
“Kami menggalakkan peminat badminton yang ingin menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium supaya segera melayari laman web jualan tiket dan membeli tiket mereka.
“Dalam edisi-edisi sebelum ini, kategori popular sering habis dijual dengan pantas selepas jualan bermula,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




