rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan pasukan seragam susulan kematian penuntutnya pada 13 November lalu, yang didakwa akibat menjadi mangsa dera.
UiTM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya memandang serius mengenai kejadian itu.
“Pihak universiti menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan siasatan.
“UiTM akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung insiden ini, dan UiTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan setiap penuntutnya sentiasa diutamakan.
“Sehubungan itu, universiti sudah mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula dan memperkukuh prosedur berkaitan latihan dan mekanisma pemantauan berkaitan aktiviti badan beruniform (pasukan seragam),” kata kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti itu meninggal dunia pada 13 November lalu selepas didakwa menjalani sesi latihan jerih dan tidak berjadual.
Bapa pelatih terbabit mendakwa kejadian itu membabitkan penderaan secara fizikal.
Dalam laporan kepada polis, bapa mangsa berkata, anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dada serta dipaksa melakukan pelbagai aksi termasuk seperti kuda dan ditunggang oleh jurulatihnya.
Susulan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilaporkan akan mendapatkan laporan penuh daripada universiti.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu laporan terbabit sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Mengulas lanjut, UiTM berkata, pihak pengurusan universiti berasa amat sedih atas kejadian berkenaan dan memberi jaminan penuh untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan terhadap kes itu.
Katanya, UiTM amat berdukacita dan mengucapkan takziah serta simpati yang mendalam kepada keluarga pelajar terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




