Mohamad Nazmie Aizzat boleh selamat jika segera ke hospital – Saksi

Mohamad Nazmie Aizzat boleh selamat jika segera ke hospital – Saksi

am@hmetro.com.my

Tawau: Pakar Patologi Forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, mungkin boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan.

Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, yang bertugas di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tawau, menyambung keterangannya di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol, pada pada perbicaraan hari kelima, hari ini.

Beliau yang juga saksi kelima pendakwaan pada pendapatnya berkata, jika si mati dirujuk ke hospital lebih awal pemulihan dan rawatan agresif boleh dilakukan.

Menjawab kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, ketika pemeriksaan semula berkenaan rawatan rawatan agresif itu beliau menjelaskan ia adalah rawatan sokongan membabitkan pelbagai bidang kepakaran.

Nur Nisla: Anda menyebut sebelum ini bahawa jika si mati dihantar segera ke hospital dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas pukul 4 pagi, beliau mungkin mempunyai peluang untuk hidup, tetapi anda juga menyebut mengenai rawatan agresif.

Boleh anda huraikan apa yang dimaksudkan atau termasuk dalam rawatan agresif ini?

Dr Dzureena: Rawatan sokongan ini melibatkan pelbagai pakar seperti pakar perubatan kecemasan, pakar perubatan, dan pakar buah pinggang, yang mana ia di luar bidang kepakaran saya. Perlu rujuk kepada pakar berkaitan.

Sebelum itu, Dr Dzureena turut bersetuju dengan cadangan berhubung perkara sama oleh peguam Mohamed Zairie Zainal Abidin ketika pemeriksaan balas.

Zairie: Saya cadangkan kepada anda, jika si mati dibawa untuk mendapatkan rawatan pada pukul 4 pagi, iaitu dalam tempoh tiga hingga empat jam selepas kecederaan dialami, si mati mungkin boleh diselamatkan, setuju?

Dr Dzureena: Untuk soalan ini, bolehkah saya huraikan lebih lanjut? Selepas kecederaan dialami oleh si mati, jika dia dibawa ke hospital dengan segera dan menerima rawatan agresif serta resusitasi, ada kemungkinan dia boleh diselamatkan memandangkan si mati masih muda dan sihat.

Zairie: Jawapan anda “segera” termasuk dalam tempoh masa tiga hingga empat jam selepas si mati mengalami kecederaan trauma tumpul?

Dr Dzureena: Sepatutnya secepat mungkin atau lebih awal daripada itu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan mangsa turut mengalami kecederaan pada alat sulit (scrotum) akibat ditendang, ditumbuk, atau kesan dengan objek tumpul atau kombinasi perbuatan berkenaan yang berkemungkinan dilakukan individu atau sekumpulan orang.

Perbicaraan membabitkan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhesseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Pendakwaan pula diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top