nfazlina@nstp.com.my
Pasir Mas: “Tolong selamatkan kami, kami sekeluarga 30 orang terperangkap dan kini tidak dapat keluar kerana dalam rumah pun sudah dinaiki air,” demikian rayuan Jamilah Dollah, 58, dari Kampung Bakong Dalam.
Katanya, mereka sekeluarga termasuk dua bayi dan tujuh kanak-kanak mula terperangkap sejak Maghrib malam tadi selepas air naik mendadak.
“Asalnya anak-anak datang berlindung di rumah saya memandangkan kampung ini tidak pernah dilanda banjir.
“Namun sebaliknya berlaku apabila rumah saya turut dinaiki air sejak malam tadi dan sehingga kini dalam rumah pun mencecah 0.4 meter.
“Rumah adik saya di sebelah pun sudah mencecah paras 0.5 meter menyebabkan dia pun kini berlindung di rumah saya. Ramai penduduk di sini terperangkap,” katanya ketika dihubungi.
Jamilah berkata, pihaknya sudah menghubungi bomba untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan kini hanya menunggu.
“Saya bimbang air semakin naik dan berharap ada yang datang menyelamatkan kami kerana paras air di halaman rumah terlalu tinggi.
“Kami bimbang kerana terdapat juga dua bayi dalam rumah ini. Ini banjir palinh teruk berlaku kerana pada 2014 pun, paras air hanya mencecah tangga dan tidak masuk ke dalam rumah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




