am@hmetro.com.my
Shah Alam: Perikatan Nasional (PN) dijangka akan memutuskan jawatan Setiausaha Agung baharu dalam mesyuarat pimpinan tertinggi gabungan parti itu yang dijadual berlangsung pada 9 Disember depan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mengikut perlembagaan, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin boleh melantik sesiapa saja dari kalangan pemimpin parti gabungan untuk mengalas jawatan itu.
“Apabila Pengerusi PN umumkan dia mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung, maka akan diumumkan dalam mesyuarat PN, itu saja. Walaupun kuasanya diberikan presiden, kita tidak mahu yang lain-lain bercakap tentang perkara ini.
“Biarlah selepas diumumkan oleh pengerusi, kita terima baik dan diumum dalam mesyuarat tertinggi (PN) yang akan bermesyuarat pada 9 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Bersatu di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, tindakan Muhyiddin mengumumkan Mohamed Azmin sebagai Setiausaha Agung PN tanpa rundingan didakwa cetus rasa tidak puas hati sehingga mengundang tindak balas PAS.
Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini turut mencadangkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk dilantik ke jawatan itu.
Semalam, Mohamed Azmin yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor turut diumumkan sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baru, menggantikan Hamzah.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu meminta supaya isu pelantikan jawatan itu tidak dibincangkan secara umum di peringkat akar umbi.
“Kalau kita mahu bercakap biarlah ia datang dari pemimpin tertinggi parti, presiden-presiden parti duduk berbincang perkara ini. Bila sampai masanya, barulah wakil diberikan mandat untuk berucap. Kalau seorang dua (bercakap), itu hanya suara dibawah saja dan bukan dari keputusan peringkat tertinggi parti.
“Ini perkara biasa. Kalau kita hanya ada lima, enam orang ahli betullah. Tapi kita ada berjuta ahli, bila digabungkan antara PAS, Bersatu dan semua parti komponen. Masing-masing ada cita-cita, ada impian, itu tidak mengapa yang di bawah, tapi yang diatasnya tidak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




