Mahkamah tolak rayuan wanita Indonesia mengenai kewarganegaraan anak

Mahkamah tolak rayuan wanita Indonesia mengenai kewarganegaraan anak

Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan seorang wanita Indonesia yang memohon deklarasi bahawa anak lelakinya yang kini sudah remaja adalah warganegara Malaysia.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan bahawa wanita itu gagal membuktikan bahawa anaknya adalah seorang warganegara Malaysia mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu melalui aplikasi Zoom, Azizah berkata memandangkan terdapat keraguan mengenai identiti bapa kandung remaja tersebut, syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan gagal dipenuhi.

Beliau berkata lelaki yang disenaraikan sebagai bapa kandung pada sijil kelahiran remaja itu telah menafikan perkara tersebut semasa siasatan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Azizah berkata justeru itu, hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila menolak permohonan wanita tersebut supaya anaknya diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Kes itu membabitkan seorang wanita Indonesia yang berkahwin dengan lelaki Malaysia pada tahun 2000 dan memiliki dua anak lelaki iaitu yang lahir pada 2004 serta 2010.

Kedua-duanya telah didaftarkan sebagai anak lelaki itu dan dikeluarkan sijil kelahiran. Bagaimanapun, mahkamah tidak mendedahkan identiti mereka.

Apabila anak kedua berumur 12 tahun, dia telah memohon kad pengenalan Malaysia (MyKad) namun kesnya telah dirujuk untuk siasatan lanjut selepas pihak berkuasa mendapati kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang persamaan fizikal dengan lelaki terbabit.

Semasa siasatan, lelaki terbabit mengaku bahawa remaja itu bukan anak kandungnya dan enggan melakukan ujian DNA yang menyebabkan sijil kelahiran dirampas manakala pengeluaran MyKad ditangguhkan kerana siasatan belum selesai.

Wanita itu kemudian memfailkan saman di Mahkamah Tinggi terhadap Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia memohon pengisytiharan bahawa anak lelakinya adalah warganegara Malaysia serta perintah untuk memaksa JPN mengembalikan sijil kelahiran selain mengeluarkan Mykad.

Pada 16 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman pemula wanita itu yang menyebabkan beliau membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, wanita itu diwakili peguam A.Srimurugan dan J. Gunamalar manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin hadir bagi pihak Ketua Pengarah JPN serta Kerajaan Malaysia.

Srimurugan memaklumkan Bernama bahawa perkara itu akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan di mana beliau akan memohon kebenaran untuk merayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top