Paris: Pemain tenis Wanita nombor dua dunia, Iga Swiatek menerima penggantungan selama sebulan selepas diuji positif bahan terlarang, menurut Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA).
Swiatek, 23, diuji positif untuk ubat jantung trimetazidine (TMZ) dalam sampel di luar pertandingan pada Ogos 2024 apabila pemain Poland itu menduduki ranking nombor satu dunia.
ITIA bagaimanapun, menerima bahawa ia disebabkan oleh “pencemaran ubat bukan preskripsi terkawal (melatonin), yang dikeluarkan dan dijual di Poland yang diambil oleh pemain untuk masalah jet lag dan tidur.
“Pelanggaran yang dilakukan oleh Swiatek itu tidak disengajakan. Tahap kesalahan pemain dianggap berada pada tahap paling rendah dalam julat untuk ‘Tiada Kesalahan Ketara atau Kecuaian’,” kata ITIA.
Dia yang juga juara bertahan Terbuka Perancis yang memiliki lima gelaran perseorangan Grand Slam menerima penggantungan itu dengan tangan terbuka.
“Saya terima hukuman itu dengan terbuka. Ia menjadi pengalaman terburuk dalam hidup saya. Dalam dua setengah bulan ini, saya tertakluk kepada prosiding ITIA yang ketat yang mengesahkan saya tidak bersalah.
“Satu-satunya ujian doping positif dalam kerjaya saya, menunjukkan tahap bahan terlarang yang sangat rendah yang tidak pernah saya dengar sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



