Jangan letak harapan tinggi nak julang Piala Asean

Jangan letak harapan tinggi nak julang Piala Asean

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Belum lagi beradu tenaga namun sudah dapat bayangan kemampuan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Asean 2024 yang membuka tirai 8 Disember ini.

Itu rumusan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang melihat skuad Harimau Malaya mungkin tidak boleh pergi jauh berdasarkan kepada senarai nama pemain yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Malah, beliau juga menjangkakan mungkin Malaysia terpaksa bermandi peluh atau terkandas di peringkat kumpulan yang terdiri daripada Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.

“Saya ingin ingatkan penyokong bola sepak tanah air, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi untuk skuad Harimau Malaya menjulang Piala Asean 2024.

“Kita kena berpijak di bumi yang nyata kerana pasukan lain membariskan pemain terbaik kerana ini adalah Piala Dunia untuk negara Asean.

“Jika melihat kepada senarai nama, ada yang kali pertama beraksi untuk Harimau Malaya selain ada antara mereka juga sudah lama tak menyarung jersi kebangsaan. Saya tidak tahu bagaimana jurulatih(Pau Marti Vicente) pilih pemain pada kali ini,”katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, kali pertama dan terakhir Malaysia menjuarai Piala Asean yang dahulu dikenali sebagai Piala AFF pada 2010 dibawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Sebelum itu, gabungan pemain muda dan senior menjadi pertaruhan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Asean 2024.

Berdasarkan senarai nama yang dikeluarkan FAM, seramai lima pemain muda diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran di kejohanan itu.

Antara yang disenaraikan adalah Haqimi Azim Rosli, Fergus Tierney, Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil.

Skuad ini turut menampilkan muka baharu lain seperti Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Harith Samsuri.

Piala Asean 2024 meyaksikan Malaysia bersaing dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.

Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan ke separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top