Polis tahan pemandu larikan diri dari pemeriksaan polis, temui pistol mainan

Polis tahan pemandu larikan diri dari pemeriksaan polis, temui pistol mainan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemandu kereta yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis berjaya ditahan selepas dikejar lebih dua kilometer hingga ke Jalan Indah 3, Kampung Ampang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata pasukan kereta peronda (MPV) Polis Daerah Ampang Jaya pada awalnya terserempak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Bukit Ampang, jam 8.02 malam.

Menurutnya, anggota MPV polis cuba mengarahkan kereta Proton Waja itu berhenti untuk pemeriksaan ketika di Jalan Persiaran Ampang, namun pemandunya enggan dan bertindak melarikan diri.

“Pasukan MPV polis mengejar kereta terbabit dengan dibantu tiga lagi MPV polis dan setibanya di Jalan Indah 3, Kampung Ampang, suspek bertindak melanggar salah sebuah MPV polis menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak dan terhenti.

“Pemandu kereta itu berjaya ditahan di tempat kejadian dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata semakan mendapati suspek adalah seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan tidak bekerja.

“Hasil pemeriksan lanjut di dalam kereta suspek, polis menjumpai satu beg yang mengandungi sepucuk pistol mainan.

“Motif kejadian ini adalah disebabkan suspek enggan menjalani pemeriksaan polis dan bertindak melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan suspek direman empat hari sehingga 3 Disember ini

“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azam sekali lagi menafikan bahawa berlaku kejadian tembakan membabitkan tangkapan itu seperti yang ditularkan di media sosial.

“Kita minta orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar bersabit kejadian ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top