Nyaris maut tercampak dari lebuh raya ke dalam sungai

Nyaris maut tercampak dari lebuh raya ke dalam sungai

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penunggang motosikal nyaris maut apabila tercampak dalam sungai selepas motosikal ditunggang bersama isteri dan anaknya terbabit kemalangan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di sini, hari ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Zainal Abidin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 1.26 petang.

Menurutnya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat kemudiannya segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 dinaiki tiga individu iaitu lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.

“Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan tercampak ke dalam sungai yang berada di bawah lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba serta orang awam di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan patah bahagian kaki kanan manakala isteri dan anaknya mengalami kecederaan ringan serta diberikan rawatan awal.

“Semua mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top