Jambatan Bailey hubungkan Jalan Gua Musang-Jeli akan dibina

Jambatan Bailey hubungkan Jalan Gua Musang-Jeli akan dibina

am@hmetro.com.my

Bagan Datuk: Jambatan Bailey akan dibina di KM35 Jalan Gua Musang-Jeli di Kelantan yang sebelum ini dilaporkan terputus, bertujuan memudahkan penghantaran bantuan kepada mangsa banjir dan kerja menyelamat.,

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, penilaian terhadap struktur tanah di lokasi terbabit perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai untuk menampung pembinaan infrastruktur itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, sekiranya sesuai, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) akan membina jambatan Bailey dalam tempoh 48 jam.

“Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma), JKR dan RAJD mempunyai stok yang mencukupi untuk pembinaan jambatan bailey di tempat yang terjejas.

“Ini pernah kita lakukan apabila hubungan di antara Segamat dan Rompin terputus, jambatan Bailey dibina dalam tempoh 72 jam,” katanya selepas menyempurnakan program One Stop Center Sejahtera Sosial Negeri Perak di Politeknik Bagan Datuk di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Kelmarin, media melaporkan Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi laluan utama kepada lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini runtuh akibat mendapan tanah.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini terdapat tujuh lokasi jalan terputus yang dikenal pasti untuk cadangan pembinaan jambatan Bailey seluruh negara, bagaimanapun beliau tidak memperincikan lokasi terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey terutama jambatan kampung di kawasan jalan perhubungan desa menggunakan peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Kita tidak mahu apa yang pernah berlaku pada 2014 dahulu berulang yang mana kesiapsiagaan ketika itu berada di peringkat yang agak rendah.

“Namun, 10 tahun kemudian (tahun ini), kita sudah lakukan kesiapsiagaan di peringkat awal dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memberikan data seminggu lebih awal sebelum luruan dan taburan hujan itu bertambah.

“Tindakan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan lebih awal,” katanya.

Setakat jam 5 petang hari ini, seramai 145,897 mangsa daripada 43,701 keluarga terjejas banjir dipindahkan ke 673 PPS di sembilan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top