fatin.farhana@bh.com.my
PANDANGAN seorang pelakon muda yang dilapor mendakwa trofi diraih dalam acara anugerah bukan pengukur kepada kejayaan, baru-baru ini, mencetuskan perdebatan dalam kalangan penggiat industri kreatif dan peminat.
Tambah ‘panas’, pelakon terbabit dilapor mendakwa trofi paling ‘legit’ adalah di Anugerah Academy atau Oscar dan mengimpikan mahu merangkul patung emas itu suatu hari nanti.
Kenyataan sinis pelakon terbabit, bagaimanapun dilihat segelintir pihak sebagai memperlekehkan acara anugerah tempatan, baik yang berteraskan mutu produk atau populariti calon bertanding.
Memberi pandangan pada forum Lihatlah Dunia: Trofi FFM Merubah Hidupku baru-baru ini, pelakon jelita digelar Primadona Filem Melayu, Erra Fazira melihat pengiktirafan dalam mana-mana acara anugerah mampu memberi lonjakan besar kepada penggiat seni.
Erra yang pernah dua kali merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-15 dan ke-18 melalui filem Soal Hati dan Hingga Hujung Nyawa, mengakui kejayaan di pentas berprestij itu melonjakkan semangatnya untuk terus berkarya.
“Tidak kira lakonan atau nyanyian, ada acara anugerah yang menghargai kita. Misalnya, kita ada anugerah berprestij seperti FFM iaitu satu-satunya anugerah yang menghargai karyawan, tidak kira pengarah, pelakon, kru dan sebagainya.
“FFM juga mengangkat hasil karya anak seni tempatan. Saya tidak nafikan FFM memberi impak sangat besar kepada semua pemenang atau finalis.
“Kemenangan dan pencalonan pada FFM boleh dijadikan ‘benchmark’ yang membawa kepada peningkatan usaha dan karya.
“Tipu kalau dikatakan trofi FFM tidak memberi impak kepada karyawan, baik pengarah, penulis atau kru. Apabila sudah dinobatkan, pasti kita terkesan untuk memberi prestasi lebih baik.
“Bagi saya sendiri, kejayaan di pentas FFM memberi impak dari sudut kepercayaan karyawan lain dan penonton terhadap kita,” katanya.
Turut memberi pandangan pada forum itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Datuk Rosyam Nor, Fauziah Ahmad Daud dan Maya Karin. Sesi perbincangan itu dikendalikan pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar.
Erra mengakui impak kemenangan di pentas FFM meningkatkan kepercayaan penerbit dan tenaga penggerak industri kreatif hingga banyak mendapat tawaran menjayakan naskhah lebih berat.
“Tidak semua pelakon diberi kepercayaan untuk membawa watak berat. Jadi, saya tidak fikir beban daripada anugerah yang diterima. Sebaliknya, ia jadi pemangkin untuk kita terus memberi yang terbaik,” katanya.
Erra berkata, pelakon tidak hanya bersandar kepada paras rupa dan penampilan yang baik. Sebaliknya apa yang utama adalah bakat, disiplin dan tanggungjawab untuk memberi yang terbaik.
“Apabila bercakap mengenai cantik, tidak dinafikan untuk umpan penonton adalah melalui kecantikan fizikal. Namun, elemen itu saja tidak boleh ke mana.
“Nanti orang cakap, dia ini sekadar rupa, bakat tidak ke mana. Itu yang kita tidak mahu. Tak nak lahirkan ‘sampah’ dalam industri seni,” katanya.
Justeru Erra berkata, setiap pelakon seelok-eloknya gilap bakat dan belajar meningkatkan kualiti penghayatan supaya industri kreatif diangkat lebih jauh.
Bersetuju dengan pandangan Rosyam, Erra berkata, setiap artis perlu belajar daripada pengalaman dan berusaha meningkatkan prestasi dari masa ke semasa.
“Apabila ada peningkatan, orang akan bertambah yakin dengan fizikal dan produk kita. Jadi, walaupun kita pernah menang anugerah dan dapat jadi yang terbaik, perlu ada peningkatan.
“Namun, perlu diingat, hari ini kita baik, esok atau lusa ada orang lain yang lebih baik.
“Bukan hendak bersaing siapa lebih baik, tetapi kita mahu beri yang terbaik untuk industri seni, bukan untuk diri sendiri sahaja.
“Jadi, saya fikir perjuangan perlu diteruskan dan penampilan perlu dijaga sampai bila-bila,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




