Raikan perjalanan cinta dengan 'Masam Masam Manis'

Raikan perjalanan cinta dengan 'Masam Masam Manis'

Kuala Lumpur: Portal budaya dan hiburan REV Media Group, Sirap Limau memperkenalkan kempen ‘Masam Masam Manis’ untuk meraikan realiti perkahwinan melalui kisah cinta penuh cabaran dan kebahagiaan yang berlangsung sehingga 14 Januari 2025.

Melalui penceritaan dan kandungan yang menarik, kempen ini mengajak pasangan suami isteri untuk menghargai dan menerima kelebihan atau kekurangan, suka dan duka dalam perjalanan mereka bersama. 

Ia merangkumi empat tema utama iaitu Sehati Sejiwa, Gelora Perkahwinan, Kemuncak Cinta dan Kembali Terjalin dengan setiap tema menggambarkan fasa berbeza serta keindahan dalam menghadapi pelbagai peringkat hubungan perkahwinan. 

Ketua Kandungan Editorial Sirap Limau, Nurul Halifah berkata tujuan utama kempen ini adalah menghapuskan mitos mengenai perkawinan sempurna dan memperkenalkan naratif yang lebih asli serta meraikan kekuatan cinta sepanjang perjalanan hidup bersama. 

“Kami menyediakan ruang khas di laman web kempen untuk orang ramai berkongsi cerita perkahwinan mereka secara tidak dikenali.

“Kisah-kisah yang dikongsikan akan menjadi sumber inspirasi bagi kandungan media sosial, memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Pengurus Kempen, Anis Amirah turut berkongsi mengenai peluang menarik untuk peserta memenangi hadiah mingguan bernilai lebih RM500 melalui cabaran foto. 

Peraduan ini bertujuan meraikan cinta dan menggalakkan pasangan untuk berkongsi detik bahagia mereka di Facebook bersama kapsyen penuh bermakna serta menggunakan tanda pagar #MasamMasamManis dan #TulisKisahHati.

“Kami juga bekerjasama dengan beberapa organisasi seperti tilljannah.my dan Andorra Women’s & Children Hospital untuk menyediakan kandungan yang relevan dan memberi impak bermakna serta meluas kepada semua,” katanya 

Kempen Masam Masam Manis akan menutup tirai dengan sebuah program bual bicara pada 8 Januari 2025, yang bakal dihoskan oleh juruhebah radio popular, Muaz Mohamed. 

Program ini akan menampilkan dua tetamu istimewa iaitu pencipta kandungan media sosial, Sufia Johari dan pakar kaunseling keluarga, Hushim Salleh. 

Bertemakan “Alam Perkahwinan Di Zaman Digital”, program ini akan membincangkan bagaimana media sosial dan teknologi mempengaruhi hubungan perkahwinan moden serta memberi panduan praktikal untuk pasangan dalam membina hubungan yang lebih kukuh di era digital ini.

Kempen Masam Masam Manis adalah ruang untuk pasangan, keluarga dan individu menyelami keindahan serta cabaran dalam hubungan perkahwinan. 

Kempen ini turut menjemput anda semua untuk berkongsi pengalaman perjalanan cinta yang penuh liku dalam perkahwinan.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, layari https://siraplimau.com/masammasammanis dan ikuti Sirap Limau di media sosial @siraplimau.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Nurul Halifah (halifah.hamiruddin@revmedia.my) atau Anis Amirah (amirah@revmedia.my).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top